Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 4.56pm Terdapat beberapa anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) asal Rosmah Mansor yang tidak bersetuju dengan paparan negatif terhadap wanita pertama itu.

Pengerusi JKKK Gedong Lalang 50, Abu Hassan Majid memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa beliau dan semua 11 anggota jawatankuasanya telah menonton klip video tersebut.

Tambahnya, mereka yang tidak berpuas hati berhujah bahawa wawancara yang memuatkan kenyataan-kenyataan negatif terhadap isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya "memburuk-burukkan kampung mereka sahaja."

"Sepatutnya kita rasa bangga, orang kampung kita jadi orang besar," kata Abu Hassan lagi, yang juga tidak senang dengan video tersebut, ketika dihubungi melalui telefon.

"Saya tidak tahu mengapa mereka bercakap demikian dalam video itu. Saya rasa sedih dan bagai tidak percaya."

Abu Hassan, yang juga ketua kampung tersebut berkata, beliau tidak berani bertanya sebab mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian tetapi tidak menolak kemungkinan wujud "rasa tidak puas hati" terhadap Rosmah.

"Saya juga tidak pasti siapa yang buat video tersebut," katanya lagi.

anti rosmah mansor video 250609 Malaysiakini semalam melaporkan sejak dua minggu lalu tiga klip video berupa dokumentari pendek disebarkan di internet yang memberikan gambaran negatif dan label liar "perempuan puaka" terhadap Rosmah.

Mengesahkan kesahihan semua individu utama yang ditemubual dalam tiga klip video itu, Abu Hassan berkata Rosmanuddin Mansor (foto, empat dari atas) memang seorang adik angkat Rosmah dan sejak dulu wujud "riak-riak mereka berdua tidak sefahaman."

Menurutnya lagi, beliau mengenali Rosmanuddin kerana ketika umurnya dua atau tiga hari bayi itu diserahkan kepada ibu bapa Rosmah.

"Tetapi dia tidak ada lagi di kampung ini, saya tidak tahu ke mana dia pergi," katanya, sambil menambah orang kampung memanggil lelaki itu "Din".

Video itu mendakwa Rosmanuddin telah meninggalkan negara ini bagi mengelak daripada Rosmah susulan perselisihan mereka berdua, antaranya gara-gara pernah membantu melangsungkan perkahwinan anak wanita pertama itu Azrene Soraya Abdul Aziz - daripada perkahwinan awal sebelum Najib - dengan seorang selebriti Dr Fazley Yaacob pada penghujung 2006.

Abu Hassan menambah, rumahnya terletak kira-kira 100 meter dari rumah orang tua Rosmah - yang masih didiami seorang pembantu.

Beliau tidak mengenali dengan dekat isteri Najib itu kerana sejak berpindah ke Gedong Lalang 50, Batu 5 Jalan Kuala Pilah, Rosmah sudah bekerja.

Beliau juga mengesahkan mengenali Che Mah Abdul Hadi (foto, tiga dari atas) , balu bekas Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Ariffin Ali yang dikatakan jiran Rosmah dalam video tersebut.

Ariffin, yang juga seorang bekas ADUN, dilantik memegang jawatan tersebut dari 1964 hingga 1968.

Anaknya Ikmal Hisham (foto, dua dari atas) , yang bekerja sendiri dan senang bergaul dengan anak muda kampung tersebut, kini tinggal bersama Che Mah sejak berpisah dengan isterinya, kata Abu Hassan lagi.

Selain Rosmanuddin, Ikmal antara sumber utama yang ditonjolkan dalam video tersebut - didakwa pernah tinggal dengan Rosmah dan memanggilnya dengan nama kekeluargaan "Kak Ros".

Pengerusi JKKK itu menambah, Che Mah suatu ketika dahulu pernah menjadi ahli jawatankuasa tersebut. Beliau tidak menyatakan tarikhnya.

"Saya selalu juga pergi ke rumahnya, dia sendiri bercampur dengan orang kampung," tambahnya.

Katanya, Che Mah dan Rosmah tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan, cuma hubungan kejiranan kerana rumah mereka selang dua buah lain.

Dalam video tersebut, Che Mah mendakwa rumahnya dijadikan tempat berlangsung perkahwinan Najib-Rosmah sewaktu suaminya masih hidup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS