Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: BN tak perlu kerajaan perpaduan
Diterbitkan:  Jun 22, 2009 6:31 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Kerajaan BN masih berupaya mentadbir negara dan tidak memerlukan sebuah kerajaan perpaduan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari in.

najib tun razak Ketika diminta mengulas keputusan PAS, DAP dan PKR hari ini untuk menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu, perdana menteri berkata, kerajaan BN adalah kukuh dan mampu melaksanakan program pembangunannya.

"Tidak timbul soal kerajaan BN lemah sehingga perlukan kerajaan perpaduan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ketua-ketua perwakilan Malaysia di luar negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, lapor Bernama.

Cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan itu ditimbulkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan menurut Najib, reaksi kerajaan terhadap cadangan itu adalah sekadar memberikan respon positif.

Najib berkata kerajaan memberikan respon yang positif terhadap cadangan itu kerana menganggap ianya sesuatu yang baik untuk negara.

"Kita masih tetap dengan pendirian kita, sesuatu yang baik untuk negara mestilah diusahakan bersama walaupun mereka datang daripada parti pembangkang," katanya.

Ketika ditanya sama ada penolakan oleh pakatan pembangkang itu akan merugikan orang Melayu, Najib berkata: "Saya rasa tidak. Saya harap mereka menimbang dengan betul apa saja yang mereka buat. Kita pula tidak akan terbawa-bawa dengan persoalan sama ada perbincangan ini diadakan atau pun tidak.

"Apa yang penting ialah kita tangani dengan baik perbezaan kita dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara."

Mengenai sama ada perbincangan mengenai kerajaan perpaduan ini akan

diadakan di masa depan, perdana menteri berkata dalam politik, apa saja boleh berlaku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS