Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
H1N1: 7 lagi kes dikesan, satu lagi jangkitan tempatan
Diterbitkan:  Jun 20, 2009 1:59 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Tujuh lagi kes influenza A (H1N1), termasuk satu kes jangkitan tempatan, dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan keas tersebut setakat ini meningkatkan kepada 42 kes.

Kesemua kes tersebut membabitkan warganegara Malaysia. Lima kes baru itu membabitkan mereka yang pulang dari Melbourne, seorang pulang dari London dan seorang lagi adalah kontak terdekat kes ke-28 yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Kes ke-28 ini merupakan kes jangkitan tempatan kedua, demikian menurut kenyataan kementerian kesihatan hari ini.

Kes ke-36 pula membabitkan seorang pelajar perempuan rakyat Malaysia berusia 11 tahun, yang telah bercuti ke Melbourne pada 10 hingga 16 Jun lalu.

Dia bercuti bersama nenek (kes-31) dan ahli keluarga yang lain seramai 11 orang. Empat daripada mereka telah dikesan positif influenza A (H1N1) sebelum ini.

Mereka balik ke Malaysia pada 16 Jun dengan pesawat Air Asia X D7 2723 yang tiba di LCCT pada jam 7 pagi tanpa sebarang simpton.

Pada 17 Jun, dia telah pergi ke SRJK (Cina), Jalan Davidson, Pudu, Kuala Lumpur. Dia mula batuk pada 17 Jun dan demam keesokan harinya dan disahkan positif influenza A (H1N1) semalam.

Berikutan itu, kementerian kesihatan sedang mengesan 47 pelajar dalam satu kelas yang sama dengannya dan meletakkan mereka di bawah kurantin rumah selama tujuh hari.

Kes ke-37 adalah seorang warga Malaysia lelaki berusia 22 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Kes ke-38 adalah seorang pelajar berusia 14 tahun yang pulang dari Melbourne dengan penerbangan Air Asia D7 2723 pada jam 7.30 pagi 14 Jun.

Manakala kes ke-39 adalah seorang wanita berusia 27 tahun, rakyat Malaysia yang bertugas sebagai pramugari dengan Syarikat Penerbangan Singapura.

Kes ke-40 pula membabitkan seorang wanita berusia 40 tahun yang bekerja sebagai ejen farmasi, yang pulang dari Melbourne dengan pesawat Air Asia D7 2723 pada jam 7.30f pagi 17 Jun.

Manakala kes ke-41 membabitkan pelajar wanita berusia 19 tahun yang pulang bersama 11 anggota keluarganya dengan pesawat Air Asia X D7 2723 yang tiba di LCCT pada jam 7.30 pagi 16 Jun.

Kes ke-42 pula merupakan pelajar lelaki berusia 17 tahun yang pulang dari Melbourne dengan pesawat yang sama.

ADS