Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'tan tuntut royalti minyak RM1 bilion
Diterbitkan:  Jun 17, 2009 3:24 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Kerajaan negeri Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini bersetuju supaya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Katanya, menurut laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion, lapor Bernama.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco hari ini, Husam berkata, Kelantan mula menjadi negeri pengeluar minyak sejak 2004 dan sepatutnya mendapat royalti sepertimana negeri pengeluar minyak yang lain iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Menurutnya, adalah satu perkara yang sangat memalukan jika kerajaan pusat tidak dapat membayar wang royalti itu lebih-lebih lagi kerajaan pusat kini memperkenalkan konsep 1Malaysia, yang mengutamakan rakyat.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail berkata pakatan pembangkang akan memainkan isu royalti minyak itu dalam kempen pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

"Sekiranya negeri-negeri yang lain ini mendapat royalti petroleum, mengapa tidak Kelantan...sekiranya Najib benar-benar ikhlas, saya cadangkan beliau membayar kembali royalti petroleum hak Kelantan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS