Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan perpaduan: PM percaya PAS ikhlas
Diterbitkan:  Jun 16, 2009 12:15 PM
Dikemaskini: Jun 17, 2009 3:25 AM

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau melihat PAS ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang disuarakan oleh presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perdana menteri berkata beliau tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan untuk negara.

"Umno sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS," katanya selepas merasmikan Persidangan Menteri-menteri Pelajaran Negara-negara Komanwel ke-17 di ibu negara hari ini, lapor Bernama .

Ditanya sama ada beliau yakin dengan cadangan itu, Najib berkata ini adalah satu titik permulaan tetapi beliau perlu juga melihat terlebih dahulu bentuk kerjasama yang sesuai antara kedua-dua parti itu.

"Kita kena risik-risik dulu. Macam kita nak kahwinlah, kena risik-risik dulu. Jadi tak jadi, kita tengoklah. Takdir menentukan, apa bentuk kita tak tahu lagilah.

"Kita tengok pada bentuk kerjasama yang sesuai. Selepas itu, kita boleh bincang. Tak ada masalah," katanya.

Cadangan Abdul Hadi untuk mewujudkan kerajaan perpaduan itu disifatkan mampu untuk menyelesaikan pelbagai isu termasuk masalah politik negara secara menyeluruh.

Ketika diminta mengulas kekecohan yang ditimbulkan oleh ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semasa upacara mengangkat sumpah memegang jawatan di Dewan Rakyat semalam, Najib berkata perbuatan itu adalah disengajakan.

"Biasalah. Itu dia sengaja nak buat," katanya.

Nizar telah diperintah keluar oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana melanggar peraturan pakaian dewan dengan menggunakan lilitan pada songkoknya selain melaungkan "Hidup Rakyat, Bubar DUN" sebaik selesai mengangkat sumpah. Beliau juga dilarang menghadiri persidangan selama dua hari.

Beberapa anggota pembangkang lain yang melakukan kesalahan serupa juga dikenakan tindakan yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS