Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, mereka tidak berniat menggalakkan penggunaan kuasa untuk berdakwah "pihak yang berbeza pandangan dengan aliran Islam arus perdana", seperti Sisters in Islam (SIS).

"Memang banyak pendirian SIS yang kita tidak senangi, tidak setuju dan kita rasakan bercanggah dengan hukum Islam itu sendiri. Tetapi apa yang dimaksudkan di sebalik usul itu, supaya tindakan diambil dan diperbetulkan.

"Dalam perbincangan kita, kita bersetuju, perkataan itu (mengharamkan), menggambarkan kecenderungan dengan penggunaan kekerasan dan kuasa. Dan kalau itu yang dimaksudnya, ia bercanggah degan Islam itu sendiri," katanya dalam sidang media di Shah Alam.

Beliau mengulas usul yang dicadang PAS kawasan itu dalam muktamar PAS lalu yang meminta kerajaan menyiasat dan mengharamkan SIS sekiranya aliran dan pandangannya bertentangan dengan syariat Islam.

Usul PAS Shah Alam itu diterima tanpa bahas oleh muktamar ke-55 PAS minggu lalu. Usul itu berbunyi, antara lain:

"(Muktamar) mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal.

"Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya."

Dapat bantahan meluas

Menurut usul itu juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular.

Ia bagaimanapun mendapat bantahan meluas daripada pemimpin-pemimpin Pakatan - PKR dan DAP - serta sejumlah NGO dan individu.

Khalid berkata, Islam menggariskan beberapa panduan berdakwah, seperti disebut dalam al-Quran, antaranya, menggunakan pendekatan berhikmat, memberi nasihat dam berhujah dengan cara yang baik dan menarik.

Beliau berkata, kaedah dan pendekatan tersebut telah digunapakai sejak lama dahulu, termasuk oleh tokoh besar Islam Imam al-Ghazali.

Katanya, usul itu asalnya dicadangkan Dewan Muslimat PAS kawasan itu, tetapi tidak dibincangkan dalam mesyuarat kawasan pada 19 April lalu, sebaliknya dibawa ke mesyuarat khas pada 23 April.

Khalid berkata, dalam mesyuarat itu, PAS Shah Alam bersetuju mengubah beberapa perkataan dalam usul itu yang boleh menimbulkan salah faham seperti perkataaan "mengharamkan" dan "pemulihan".

Selepas itu, tambah Khalid, ia diserahkan kembali kepada Dewan Muslimat bagi membetulkannya.

'Saya terlepas pandang'

"Tetapi oleh kerana sibuk dengan pilihanraya kecil Penanti ketika itu dan sibuk merasmikan mesyuarat agung menjelang muktamar, saya terlepas pandang," tambahnya.

PAS Shah Alam akan menulis kepada PAS pusat pada hari ini atau esok, bagi menerangkan pendirian mereka serta melampirkan kronologi kejadian tersebut, katanya.

Bagaimanapun, bekas ahli biro politik PAS itu berkata, mereka tidak perlu meminta maaf kepada SIS.

"Kalau perlu saya akan minta maaf kepada PAS terlebih dahulu. Kalau ikut ayat ini, kita tidak kata apa-apa. Tetapi imej buruk ini bukan kena kepada SIS tetapi PAS. Ia mengukuhkan persepsi salah kepada kaedah dan pendekatan PAS itu sendiri," katanya.

Beliau juga berkata, tidak timbul juga isu menariknya balik kerana ia bukan usul sebenar yang telah dipinda, dan sepatutnya kepada ibupejabat.

Walaupun menafikan beliau disabotak pihak-pihak tertentu, Khalid mengakui usul tersebut telah mencalarkan sedikit imej PAS.

VIDEO | 9 min

ADS