Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim secara rasminya menyertai PKR hari ini.
Ketika mengumumkan perkara itu, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid akan dilantik menganggotai Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.
Katanya, Zaid secara rasminya akan mengisi jawatan tersebut selepas disahkan presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan setelah “dirasmikan dalam mesyuarat” secepat mungkin.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Bangi hari ini, Anwar berkata, Zaid juga akan dilantik sebagai anggota biro politik PKR. Turut sama naib presiden, Sivarasa Rasiah dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.
Anwar juga menyifatkan penyertaan Zaid itu sebagai satu penghormatan kepada PKR.
"Ini berita yang cukup menggembirakan. Ia berkuatkuasa hari ini. Satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita,” katanya.
Zaid, tambahnya merupakan seorang yang serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.
"Sikap ketegasan dan keberanian beliau (dapat dilihat), terutama dalam isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman,” katanya.
Reaksi Zaid
Anwar yang juga ketua pembangkang, turut menganggap penyertaan Zaid itu sebagai satu langkah positif kepada PKR dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.
"Saya percaya perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat. (Presiden PAS, Datuk Seri) Hadi tidak ada sekarang. Mesyuarat akan diadakan Isnin depan (bila Hadi dapat hadir).
Sementara itu Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dengan parti pelbagai kaum itu yang mahu membela nasib rakyat.
“Saya percaya, kalau diberi peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan pemimpin lain. Saya berminat dan berhasrat mengukuhkan Pakatan rakyat," katanya.
Menurut Zaid lagi, beliau bersedia membantu Pakatan menjadi alternatif yang benar-benar rakyat boleh harapkan untuk menubuhkan kerajaan yang baik.
Bagaimanapun, dengan merendah diri Zaid berkata: "Saya belum pakar lagi. Saya harap dapat memainkan peranan. Saya bukan pakar.”
Ditanya kenapa beliau mengumumkan penyertaannya hari ini, Zaid berkata:
“Saya selalu ingin sertai PKR. Saya beritahu Anwar. Tetapi saya rasa hendak berehat sekejap. Jadi, saya rasa hari ini hari yang sesuai.
“Ini hari yang bersejarah apabila kita akan meminda perlembagaan,” katanya.