Pemuda Umno mencadangkan supaya pelajar diwajibkan lulus ujian bahasa Inggeris MUET sebagai syarat memasuki universiti tempatan.
"Ia bertujuan untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah dan universiti," kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin.
Ketika ini, katanya, 70 peratus pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus ujian bahasa Inggeris dan 30 peratus lagi gagal dalam subjek itu.
"Mereka yang gagal itu kerana lemah dalam kefahaman bahasa Inggeris," katanya.
Pada masa ini, para mahasiswa hanya diwajibkan lulus MUET semasa pengajian untuk layak mendapatkan ijazah.
Mengenai pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Khairy berkata, Pemuda Umno akan mendapatkan hasil kajian dari kementerian pelajaran mengenainya.
Katanya, Pemuda Umno perlu menlihat kajian yang lebih saintifik sama ada dari kumpulan yang menyokong atau menentang PPSMI.
Perlu kajian berkecuali
"Kita perlukan kajian yang berkecuali, kajian yang menyokong dan menentang dasar itu mungkin prejudis.
"Kelemahan PPSMI ialah guru-gurunya tidak dapat menyampaikan maklumat dalam bahasa Inggeris kepada pelajarnya di kawasan tertentu, kawasan luar bandar umpamanya," katanya.
Mengenai cadangan mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM, Khairy berkata, walaupun bersetuju tetapi Pemuda Umno tidak mahu ia dibuat secara terburu-buru.
Khairy berkata, kementerian pelajaran mesti menyediakan cukup guru bahasa Inggeris untuk mengajar subjek tersebut.
"Kita perlukan tenaga pengajar yang cukup dan terlatih dan kalau tidak cukup, boleh mengambil guru dari Australia dan England.
"Boleh juga mengambil guru bahasa Inggeris yang sudah bersara untuk mengajar subjek tersebut," katanya selepas mesyuarat exco pergerakan itu di ibunegara hari ini.
Khairy juga berkata, kementerian pelajaran perlu mencari kaedah untuk mempertingkatkan pendedahan kepada subjek bahasa Inggeris.
Kaedah itu, katanya, termasuk jam pertuturan yang lebih banyak dan lebih menyeluruh lagi.