Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Razak Baginda terima PhD dari Oxford
Diterbitkan:  Jun 11, 2009 7:49 PM
Dikemaskini: 11:52 AM

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang menjadi perhatian utama dalam perbicaraan berprofil tinggi kerana dituduh bersubahat dalam pembunuhan seorang wanita Mongolia, hingga dibebaskan lewat tahun lalu, telah dianugerah ijazah Doktor Falsafah oleh Oxford University, salah sebuah universiti terkemuka dunia.

abdul razak baginda Dr Abdul Razak, 49, memberitahu Bernama di Kuala Lumpur, beliau mengemukakan disertasi doktoratnya pada September 2006 tetapi universiti menangguhkannya kerana penangkapannya dua bulan kemudian berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Bila dilepas dan dibebaskan dari penjara pada 31 Oktober tahun lepas, saya menulis semula kepada universiti, mereka memulihkan proses seluruhnya dan awal tahun ini mereka memberitahu saya bahawa saya telah lulus dan dianugerah ijazah Doktor Falsafah (DPhil).

"Di Oxford, Doktorat ini dipanggil DPhil dan menyamai PhD di universiti lain," kata Dr Abdul Razak.

Beliau berkata pada Oktober, beliau akan memegang jawatan sebagai anggota bersekutu kanan St. Antony's College di universiti itu.

Dengan jawatan ini, beliau akan menjalankan penyelidikan mengenai isu-isu antarabangsa.

Dr Abdul Razak, yang belajar di Trinity College Oxford semasa membuat persediaan untuk doktoratnya berkata beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia mengikuti pengajian di universiti-universiti utama.

"Terlalu kecil bilangan rakyat Malaysia yang memasuki Oxford, lebih kecil ialah bilangan yang mendapat DPhil dan lebih kecil lagi bilangan Melayu," katanya.

Beliau berkata beliau sedang menulis sebuah buku mengenai sejarah hidupnya dengan fokus terhadap penahanannya selama 22 bulan di penjara Sungai Buloh semasa perbicaraan itu.

Dua anggota polis, Ketua Inspektor Azilah Hadri, 33, dan Korporal Sirul Azhar Umar, 37, yang dituduh melakukan pembunuhan itu didapati bersalah dan dihukum mati. Kedua-dua merayu terhadap sabitan dan hukuman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS