Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan, Raja Perempuan diseret dalam laporan polis Manohara
Diterbitkan:  Jun 10, 2009 11:14 AM
Dikemaskini: Jun 11, 2009 3:47 AM

kemaskini 2.46pm Manohara Odelia Pinot akhirnya membuat aduan polis terhadap istana Kelantan, termasuk Sultan dan Raja Perempuan, berhubung dakwaannya beliau diculik dan didera suaminya Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Bekas model muda itu, yang bergelar Cik Puan Temenggong Kelantan, membuat aduan tersebut di ibu pejabat polis Indonesia di Jakarta semalam, lapor akhbar Surya hari ini.

surya live indonesia news website manohara sultan kelantan police report 100609 Peguamnya Hotman Paris Hutapea dipetik berkata, Manohara juga melaporkan nama kapten pesawat peribadi yang didakwa melarikannya dari Jeddah pada Mac lalu, kenalan dekat suaminya Mohd Soberi Shafii dan seorang pengawal peribadi yang dituduh memukulnya dalam pesawat tersebut.

Peguam itu berkata kelapan-lapan itu ingin dituntut disiasat menurut Seksyen 285 Kitab Undang-undang Hukum Pidana (seperti Kanun Keseksaan di Malaysia) berhubung kesalahan penganiayaan dan penculikan.

Menurut akhbar yang sama, beliau juga bercadang membawa kelapan-lapan nama itu bawah Seksyen 333 kitab undang-undang jenayah itu, yakni kesalahan menyekat kebebasan orang lain.

Manohara kemudian dibawa untuk pemeriksaan perubatan yang rapi bersama pegawai penyiasat polis selepas aduan itu, kata Hotman Paris lagi.

"Setelah visum (pemeriksaan perubatan) kami harapkan pihak Kelantan ditetapkan sebagai tersangka (suspek)," peguam itu dipetik berkata, sambil menambah pemeriksaan perubatan itu dibuat secara rasmi oleh polis sesuai menurut siasatan bawah Kitab Undang-undang Hukum Pidana.

"Visum seluruh tubuh termasuk jiwa dan hatinya. Bukti visum ini adalah bukti utama karena dilakukan secara bersama dengan penyidik (pegawai penyiasat) Mabes (ibu pejabat polis).

"Saya yakin (pemeriksaan) ini bisa jadi bukti utama."

manohara odelia pinot jakarta 100609 Sambil menunjukkan foto di telefon bimbitnya kepada media, peguam yang sama semalam dipetik berkata terdapat kesan luka pada dada Manohara, termasuk dekat dengan payudaranya.

"Jika kalian para perempuan tidak sedih... ini aneh. Ini adalah bukti jelas, saya pun hampir menangis," Hotman Paris dipetik Surya .

Sementara ahli forensik Dr Abdul Mun'im Idries yang menjalankan pemeriksaan perubatan awal terhadap wanita 17 tahun itu juga mengesahkan wujud kesan luka, termasuk kesan yang "masih baru", lapor agensi berita AFP semalam.

Mengulas lanjut kes anak guamnya itu, Hotman Paris berkata Manohara akan meminta bantuan polis Indonesia untuk bekerjasama dengan Interpol untuk menyelesaikan siasatan.

"Juga kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk menyelesaikan masalah ini. Begitupun dengan Dubes (duta besar) di Malaysia agar memfasilitasi (memudahkan)," kata seorang lagi peguam wanita itu, Warsito Sanyoto.

Istana Kelantan dengan rasmi menganggap dakwaan Manohara ini sebagai krisis rumahtanggan pasangan diraja itu, sementara Mohd Soberi bertegas menafikan tuduhan-tuduhan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS