kemaskini 2.01pm Gabungan tiga parti pembangkang kini buat kali pertama menghadapi "krisis keyakinan" susulan tindakan PAS inginkan kerajaan perpaduan dan juga meluluskan usul menggesa Sisters in Islam (SIS) diharamkan.
"Pakatan Rakyat sedang mengalami krisis keyakinan yang pertama di kalangan anggota, penyokong dan simpatisannya sejak ditubuhkan selepas tsunami politik 8 Mac tahun lalu," kata tokoh utama DAP Lim Kit Siang.
Tambahnya, walaupun tema muktamar PAS hujung minggu lalu boleh membawa maksud mengukuhkannya lagi sebagai parti nasional yang mewakili kepentingan dan hak semua, tetapi saranan kerajaan perpaduan dan gesaan menyiasat SIS dan mengharamkannya membawa "kesan sebaliknya", mencetuskan krisis tersebut.
DAP dan PKR menafikan dakwaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pakatan Rakyat pernah membincangkan dan bersetuju dengan saranan berunding untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan BN.
Dua parti itu juga menggesa PAS menilai semula usul yang diluluskan tanpa bahasa yang menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat dan seterusnya mengharamkan SIS jika terbukti menyeleweng daripada akidah Islam.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan beberapa pagi pemimpin parti itu memperalatkan saranan kerajaan perpaduan untuk "memecahbelahkan Pakatan Rakyat dan menimbulkan krisis keyakinan orang ramai terhadap pembangkang," tambah Lim.
"Ia menguji kebijaksanaan dan keupayaan pemimimpin-pemimpin DAP, PKR dan PAS untuk mengukur harapan rakyat seperti diluahkan pada pilihanraya umum tahun lalu untuk melanjutkan lagi perjuangan Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemimpin PAS menggesa pemimpin-pemimpin Pakatan dan parti itu sendiri agar tidak mengeluarkan kenyataan lagi tentang isu tersebut yang boleh mengelirukan lagi penyokong pembangkang.
Pengarah Pilihanraya Pusat PAS Datuk Mustafa Ali berkata perbincangan isu kerajaan perpaduan "tidak relevan" kerana tugas pembangkang untuk melawan Umno dalam pilihanraya umum dan kecil, termasuk di DUN Manek Urai.
"Kita nak benamkan Umno, nak benamkan BN. Cakap tentang kerajaan perpaduan tidak relevan pada waktu ini.
"Sebab, kalau menggunakan istilah kerjasama, ia akan disalahertikan. PAS bekerjasama dengan Pakatan Rakyat, dan engagement , ya.
"Ia digunakan untuk bercakap dengan sesiapapun, sama ada dengan MCA, MIC atau Umno. Bukan berunding, tetapi bercakap. Itu tidak salah," kata Mustafa dalam satu sidang media.
Walaupun idea kerajaan perpaduan pernah dilontarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di satu mesyuarat jawatankuasa PAS tetapi satu keputusan tidak dicapai untuk menerimanya.
"Tidak salah melontar satu idea dan ia tak jadi satu keputusan," kata Mustafa.
Tambahnya, dalam ucapan dasar presiden pada muktamar hujung minggu lalu, Abdul Hadi juga tidak membangkitkan mengenai kerajaan perpaduan.
"Beliau tidak sebut, jadi ia tidak menjadi agenda parti," katanya.
Mustafa juga berkata, setakat pengetahuannya, idea pernah dimaklumkan kepada penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu perbicangan.
Bagaimanapun Mustafa tidak mengingati tarikh perbincangan tersebut.
"Selepas itu Datuk Seri Hadi, Datuk Seri Anwar dan (timbalan mursyidul am PAS) Datuk Dr Haron Din pergi ke Kota Bharu, berjumpa dengan (mursyidul am PAS) Datuk Nik Aziz, yang saya faham dalam konteks untuk menerangkan tentang perkara ini.
"Saya tidak tahu respons Tok guru (Nik Aziz ) selepas itu,” katanya.
"Pada saya, mungkin presiden PAS, bila beliau memaklumkan kepada Anwar sebagai pemimpin Pakatan, mungkin dia mengandaikan maklumat itu sampai kepada DAP.
"Tetapi mungkin maklumat itu tidak sampai kepada DAP sebab DAP kata ia tidak tahu. Mungkin benar mereka berkata begitu. Jadi ini yang menimbulkan cakap-cakap begini."
Oleh itu, beliau berharap semua pihak di dalam PAS dapat menjernihkan suasana agar perkara tersebut tidak berbangkit lagi isu mengenai perpaduan.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Musatafa turut menyatakan bahawa jentera pilihanraya PAS di peringkat Pusat dan negeri telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai.
Katanya, jentera pilihanraya di peringkat Pusat akan di ketuai oleh timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa manakala jentera operasi di serahkan kepada jabatan pilihanraya negeri yang diketuai oleh pengarahnya, Datuk Abdul Fatah Haron.
Tambah Mustafa, PAS menggunakan strategi dan format yang digunakan oleh parti tersebut dalam dua pilihanraya kecil parlimen, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang - masing-masing pada Januari dan April lalu.
Ditanya mengenai calon yang akan dipilih, beliau berkata, ia akan diumumkan seminggu sebelum penamaan calon.
"Saya tak ada senarai calon, yang ada hanya di Kelantan," katanya.
Katanya, calon yang dipilih adalah calon yang diterima oleh rakyat dan boleh memenangkan parti tersebut dalam pilihanraya.