Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, muzakarah Umno dan PAS bukan umpan untuk membentuk kerajaan perpaduan antara kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu.

Sebaliknya, kata ahli parlimen Rembau itu, perbincangan ini adalah demi kebaikan, membasmi kemiskinan dan pembangunan politik negara.

"Muzakarah ini menghasilkan persefahaman tidak rasmi, tidak sampai membentuk kerajaan perpaduan.

"Perbincangan ini adalah satu usaha serius ke arah perpaduan ummah, orang Melayu," katanya dalam rancangan agenda Awani terbitan Astro Awani selama 30 minit malam ini.

Khairy juga menafikan isu muzakarah timbul kerana Umno menghadapi krisis, sebaliknya tegas beliau, ia lebih kepada jangka masa panjang dan politik yang sederhana.

Program yang dihoskan oleh Suhaimi Sulaiman itu sepatutnya turut disertai timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Bagaimanapun, beliau tidak hadir pada saat-saat akhir kerana sebab-sebab tertentu.

"Pakatan Rakyat, satu perikatan politik yang belum matang sepeti BN. Oleh itu memang ada ruang, peluang dan masa untuk PAS untuk pertimbangkan pilihan untuk terus dalam Pakatan kerana ia bukan parti rasmi dan tiada pun kabinet bayangan ," katanya.

'Jangan prejudis '

Khairy berkata, untuk jangka pendek ini kepercayaan perlu dibina terlebih dahulu oleh dua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan tersebut.

Katanya, perbincangan Umno dan PAS yang diadakan selepas pilihanraya umum lalu terbantut kerana kedua-dua parti terbabit dengan pemilihan masing-masing.

Oleh itu, ketua Pemuda Umno itu berharap perbincangan tersebut diadakan semula.

"Dengaan kemenangan pemimpin PAS yang menyokong kepada perbincangan, proses muzakarah menjadi lebih konduksif.

"Jika terus dengan prejudis, perbincangan tidak dapat teruskan dan kerana itu jangan ada prasyarat," katanya..

Sementara itu, ahli Parlimen Parti Buntar, Mujahid Yusof Rawa berkata, PAS mahu syarat awal sebelum perbincangan kedua-dua parti dimulakan.

Bagaimanapun, katanya, mesti ada suasana konduksif untuk menimbulkan minat membincangkan perkara penting.

"Suasana konduksif belum ada ketika ini. Tiada konduksi, sukar hendak berbincang," tambahnya ketika ditemubual melalui telefon.

Politik perpaduan

Mujahid berkata, konsep politik perpaduan merupakan keperluan besar dalam negara bangsa.

Katanya, tidak mungkin untuk memacu ke hadapan dengan suasana politik yang membuang masa.

Menurutnya, kerajaan perpaduan atau campuran asasnya ialah dengan rundingan.

"Kalau dapat membentuk suasana itu, maka mudahlah urusan lain untuk kepentingan yang lebih besar.

"Masalahnya PAS sudah ada Pakatan Rakyat. PAS kena tengok ahli parti, rakan Pakatan dan persepsi. Benda itu perlu dibereskan supaya tidak menikam PAS kembali," katanya.

Sementara itu, Prof Madya Kamaruzzaman Yusof berkata, beliau tidak melihat adanya titik pertemuan antara PAS dan Umno untuk membentuk kerajaan perpaduan.

"Sebaliknya kepimpinan PAS harus menumpukan kepada perkara-perkara yang relevan yang berkaitan dengan parti.

"Contohnya, bagaimana nak menguasai kawasan-kawasan baru di luar bandar," kata penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut ditemubual melalui talian telefon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS