Datuk Husam Musa kalah jawatan timbalan presiden mungkin kerana lewat mengumumkan penerimaan pencalonan bagi jawatan tersebut, kata perwakilan Perak, Abdul Rahim Md Arif.
"Ketika mesyuarat kawasan, Datuk Husam belum membuat keputusan untuk bertanding, kami tidak tahu sama beliau mahu bertanding atau tidak," katanya.
Beliau berkata, ini kerana mesyuarat kawasan PAS telah menentukan lima pemimpin utama iaitu presiden, timbalan dan tiga naib presiden.
"Ini bukan masa dia (Datuk Husam)," katanya.
Berdasarkan keputusan pemilihan bagi jawatan tersebut, katanya, rata-rata perwakilan mahukan Nasharuddin Mat Isa yang dilihat seorang ulama.
Sementara itu perwakilan Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, perwakilan mengundi selepas menilai setiap calon yang menawarkan diri.
"Perwakilan tengok calon, mereka tengok Nasharuddin Mat Isa, mereka juga tengok Datuk Husam dan Mohamad Sabu.
Pilihan kolektif
"Tetapi akhirnya mereka secara kolektif memilih Nasharuddin," katanya.
Ditanya sama ada terlalu awal untuk Husam menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden, exco kerajaan negeri Kedah itu berkata, perkara itu tidak timbul.
Amiruddin juga mengulas mengenai dua jawatan utama dipegang oleh golongan ulama, manakala tiga naib presidennya merupakan kumpulan anti-muqabalah.
Tiga naib presiden ialah Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat dekat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Amiruddin berkata, perbezaan tersebut adalah sesuatu yang dibenarkan dan ia tidak memberi apa-apa kesan kepada parti.
Manakala, Mohamad Firzain Zaidi dari Sarawak berkata, Husam perlu menerima takdir yang berlaku terhadap dirinya.
"Itu sudah takdir," katanya tanpa mahu mengulas lanjut.