Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam boleh menang jika satu lawan satu...
Diterbitkan:  Jun 6, 2009 12:18 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Datuk Husam Musa boleh memenangi jawatan timbalan presiden seandainya jika membabit satu lawan satu dengan penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, demikian menurut kalangan perwakilan PAS.

Nasharuddin berjaya mengekalkan jawatan timbalan presiden dengan memperoleh 480 undi. Manakala Husam pula mendapat 281 dan seorang lagi calon, Mohamad Sabu mendapat 261 undi.

pas muktamar nasharuddin win post 060609 husam hug nash Keputusan itu menunjukkan undi yang diperolehi Husam dan Mohamad Sabu - bila digabungkan - berjumlah 542 - iaitu 62 undi lebih tinggi daripada undi yang diperolehi Nasharuddin (46.8%).

Husam dan Mohamad Sabu berkongsi pendirian menolak sebarang kerjasama dengan Umno. Manakala Nasharuddin pula adalah dari golongan ulama yang pro-muqabalah dengan parti tersebut.

Oleh itu, kalangan perwakilan berpendapat, seandainya pertandingan bagi jawatan tersebut hanya antara Husam dan Nasharuddin - maka peluang untuk exco kerajaan negeri Kelantan menang adalah lebih cerah.

Sebelum ini memang ada terdengar desas-desus mengenai usaha-usaha untuk memujuk Mohamad Sabu menarik daripada bertanding jawatan tersebut, untuk mencerah lagi peluang Husam.

Bagaimanapun, difahamkan usaha tersebut tidak berjaya. Malah Mohamad Sabu sendiri pernah menafikan ada usaha-usaha ke arah itu.

Sementara itu, daripada 18 calon yang terpilih menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS - 12 daripadanya adalah dari senarai yang dikatakan diedar oleh penyokong Husam.

Bagaimanapun, difahamkan, tidak semua daripada 12 orang itu dilihat sebagai pro kumpulan Erdogan.

Enam daripada mereka dilihat rapat dengan kumpulan Erdogan - Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Kamaruddin Jaafar, Syed Azman Syed Nawawi, Dr Lo' Lo Ghazali, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Dr Hatta Ramli.

Bagaimanapun, ahli parlimen Shah Alam dari kumpulan Erdogan - Khalid Abdul Samad - gagal dipilih.

Manakala yang lainnya dari senarai yang sama tetapi dilihat lebih neutral ialah Abdul Ghani Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah, Taib Azamudden Md Taib, Datuk Seri Azizan Abd Razak, Abdul Ghani Samsudin and Mazlan Aliman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS