Rasmi Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan timbalan presiden PAS - menewaskan dua pencabarnya, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.
Pengumuman kemenangan beliau mendapat tepukan gemuruh para perwakilan, walaupun sebelum ini - sehingga saat-saat akhir - Husam dikatakan menang jawatan tersebut.
Nasharuddin mendapat 480 undi, Husam ( 281 ) dan Mohamad Sabu mendapat 261 undi.
Ekoran kekalahan beliau, Husam dan Mohamad Sabu yang sebelum ini merupakan naib-naib presiden PAS, tidak lagi memegang sebarang jawatan tinggi parti di peringkat pusat.
Pengerusi pemilihan, Datuk Mustafa Ali mengumumkankeputusan tersebut pada kira-kira jam 10 pagi ini.
Bagi jawatan naib presiden pula, pemenangnya - seperti yang dijangkakan - ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendapat 871 undi; diikuti ahli parlimen Kubang Krian, Salahuddin Ayub ( 824 ) dan ketua penerangan PAS yang juga ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar ( 636 ).
Dua lagi calon - Mujahid Yusof Rawa mendapat 277 undi manakala Nik Amar Nik Abdullah memperolehi 333 undi
Mujahid bagaimanapun berjaya mengekalkan jawatan dalam Jawatankuasa Pusat PAS.
Berikut adalah senarai 18 ahli Jawatankuasa Pusat PAS ialah:
Datuk Mohd Nizar Jamaluddin - 854
Idris Ahmad - 799
Datuk Kamaruddin Jaafar - 769
Datuk Seri Azizan Abdul Razak - 653
Datuk Dr Hassan Ali - 642
Dr Hatta Ramli - 638
Abdul Ghani Shamsudin - 637
Datuk Abu Bakar Chik - 622
Mohamad Hanipa Maidin - 619
Datuk Amiruddin Hamzah - 606
Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali - 589
Abdul Ghani Abdul Rahman - 584
Dr Dzulkefly Ahmad - 576
Syed Azman Syed Ahmad Nawawi - 530
Hashim Jasin - 522
Mazlan Aliman - 513
Taib Azamuddin Mohd Taib - 508
Mujahid Yusof Rawa - 448
Dari senarai di atas, mereka yang berjaya mengekalkan jawatan dalam AJK PAS pusat ialah Idris, Azizan (MB Kedah), Abdul Ghani (AJK Dewan Ulama), Abu Bakar, Hanifa, Amiruddin, Dr Lo' Lo', Abdul Ghani (pesuruhjaya PAS Melaka), Dr Zulkefly (MP Kuala Selangor), Syed Azman (ADUN Batu Buruk), Mazlan (ketua penerangan PAS Johor), Taib Azamuddin (MP Baling) dan Mujahid (timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan MP Parti Buntar).
Manakala mereka yang pertamakali terpilih ialah Nizar (Timbalan pesuruhjaya PAS Perak, MP Bukit Gantang dan ADUN Pasir Panjang) ialah Kamaruddin (setiausaha agung PAS), Dr Hatta (MP Kuala Krai), Dr Hassan (pesuruhjaya PAS Selangor) dan Hashim (Pesuruhjaya PAS Perlis dan ADUN Sanglang).
Mustapa juga turut mengumumkankeputusan jawatan timbalan pengerusi tetap yang dimenangi oleh Husin Ismail yang mendapat 609 undi.
Dua lagi calon - Ishak Surin mendapat 200 undi manakala Tengku Puji Tengku Abdul Hamid memperolehi 199 undi.
Jawatan pengerusi tetap dimenangi Abu Kassim Abdullah tanpa bertanding.
Mustapa memberitahu pemberita kemudiannya bahawa seramai 1,040 perwakilan layak mengundi tetapi hanya 1,026 yang berbuat demikian. Terdapat empat undi rosak.
Proses pengundian diadakan petang semalam dan pengiraan undi dilaporkan berjalan sehingga sehingga awal pagi ini.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai presiden tanpa bertanding.
Muktamar ke-55 PAS sedang berlangsung selama tiga hari di Shah Alam.