Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemuda PAS perlu menjadi pendesak bukan sahaja kepada pucuk pimpinan parti tetapi juga kepada kerajaan Pakatan Rakyat, kata ketua Pemuda PAS Melaka, Kamaruddin Sidek.

Katanya, ini kerana PAS bukan sahaja bersaing dengan BN tetapi dalam Pakatan juga.

"Jangan menjadi gunting dalam lipatan, mudah meletak calon tetapi tidak mahu bekerja.

"Jika perkara ini tidak diselesaikan, kita bimbang politik Pakatan akan bergelora.

"Saya cadangkan penubuhan majlis Pakatan seperti yang dilakukan oleh BN, supaya gerak kerja Pemuda dalam pakatan dilihat suatu yang kukuh dan gagah untuk mengambil tapak politik tanahair," katanya ketika membahaskan ucapan ketua Pemuda PAS hari ini.

"Dalam muktamar lalu pewakilan berkata, parti mesti menguasai kerajaaan, bagaimanapun pada hari ini masih ada yang berseronok.

Kemelut di Perak

"Beberapa negeri kerajaan Pakatan masih berselindung dengan hasil mahsul dan kita tidak mampu untuk memberi peringatan kepada kerajaan Pakatan," katanya.

Mengenai kemelut politik di Perak, beliau berkata, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir Mohamed Nizar Jamaluddin ke hulu hilir dan tidak ada satu pun negeri Pakatan yang menjemputnya ke negeri mereka sebagai simbolik `kerajaan yang dirampas oleh BN'.

"Mengapa kita tidak ambil inisiatif itu kerana Mohamed Nizar masih MB yang sah," katanya.

Beliau berkata, Pemuda PAS juga tidak mahu kepimpinan berpusat, sebaliknya kehebatannya meliputi semua orang.

"Kita tidak mahu orang bercakap mengenai ketua sahaja, sebaliknya biarlah semua orang.

"Kalau Salahuddin (Ayub) tiada, masih ada orang lain yang memimpin. Kita tidak mahu orang kata Pemuda PAS tiada pengganti Salahuddin," katanya.

Ulama dan profesional

Sementara itu, wakil Negeri Sembilan Khairil Anuar Mohd Wafa dalam perbahasannya berkata, isu ulama dan profesional tidak perlu diulang-ulang lagi.

Katanya, jangan ada cerita lagi mengenai isu ulama dan profesional ini kerana ia sama sahaja dan sudah ditutup.

".Zaman sahabat (Nabi), takde pun bising-bising...aktivis, ulama profesional kena gembleng tenaga.

Khairil Anuar berkata, jika ulamak mendiamkan diri, macam mana mereka hendak beri nasihat.

Katanya, lebih penting mereka jangan jadi burung kakak tua yang bersetuju apa sahaja orang kata.

"Jangan sibuk dengan pentadbiran kerajaan hingga tinggalkan parti sehingga menyebabkannya terabai," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS