Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mohamad Daud menyelar tindakan "musuh dalam selimut" yang didakwanya "cuba memperkecilkan dan menidakkan" sumbangan ulama yang menjadi teras kepemimpinan parti itu.
"Dengan kecanggihan teknologi sekarang ini, terdapat segolongan kecil penyokong PAS yang cuba memperkecilkan, dan yang lebih teruk lagi menidakkan sumbangan ulama dalam memajukan parti kita," katanya ketika merasmikan muktamar Dewan Ulama di Shah Alam hari ini.
Menurut Mohamad, serangan itu dibuat menggunakan pelbagai teknologi canggih terkini seperti di laman blog dan media elektronik bagi "memburukkan peribadi dan menyerang ulama atas nama kebebasan melulu tanpa batasan akhlak dan syarak".
Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak yang
dimaksudkannya dalam ucapan itu.
Mohamad juga mengecam kumpulan penyokong aliran profesional yang menyatakan pemimpin aliran pro-ulama menguasai banyak jawatan dalam parti dalam pemilihan kali ini.
"Kita mendengar cakap yang kurang enak mengatakan ulama ingin membolot kepimpinan PAS, tidak mahu berkompromi dengan profesional dan macam-macam lagi," katanya.
"Di luar sana, ada di kalangan ahli dan penyokong yang mempertikaikan keupayaan ulama dalam memimpin dan mentadbir."
Mengulas lanjut isu pertembungan dua aliran dalam parti itu,
Mohamad menekankan keperluan golongan itu mengeluarkan pandangan baru berlandaskan Islam berhubung perkembangan politik semasa, seperti kerjasama dengan bukan Islam dan juga kerajaan perpaduan.
"Sebagai contoh terdekat, ketika Presiden (Datuk Seri) Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan idea kerajaan perpaduan, sepatutnya ulama adalah golongan pertama yang menjalankan kajian dan melihat sejauh mana idea ini tersurat dalam lipatan sejarah.
"(Melihat) sejauh mana pengalaman dalam negara lain di dunia. Sejarah menunjukkan bagaimana presiden kita mempunyai pembacaan, ijtihad politik yang tinggi yang memerlukan sokongan kita," katanya.
Malah, tambahnya, saranan kerajaan perpaduan Abdul Hadi menjadi "petunjuk besar bahawa ulama PAS tidak pernah ketandusan idea dalam merealisasikan tahalluf siyasi atau kerjasama politik.
"Kepelbagaian bentuk dan pendekatan yang disebutkan di atas menolak pandangan sesetengah pihak bahawa ulama PAS adalah beku, jumud, tidak bermaya, tidak proaktif dan pelbagai tohmahan yang cuba merosakkkan penampilan ulama dalam arus politik semasa," kata Mohamad.