Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa memperjelaskan bahawa kepemimpinan tertinggi parti itu tidak pernah mempunyai sebarang niat atau perancangan untuk bersama dengan Umno atau BN.
Sebaliknya, kata beliau, ia hanyalah spekulasi semata-mata.
"Saya percaya adik-adik saya dalam Dewan Pemuda PAS bersama-sama saya dalam agenda ini," katanya ketika berucap merasmikan muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) di markas PAS di Taman Melewar Gombak malam ini.
"Akan kita pertahankan parti ini dari sebarang unsur yang cuba merobek dan menggangu keutuhan jemaah kita," katanya sambil menambah bahawa Islam yang diperjuang parti itu berdasarkan al-Quran dan Sunnah.
"Al-Quran dan al-Sunnah yang megajar kita untuk mengenal siapa musuh dan siapa kawan, ketika mana hendak berperang dan ketika mana pula hendak untuk berdamai," katanya.
Sehubungan itu, katanya, prinsip dan dasar Islam yang perjuangkan oleh PAS tidak sesekali akan berganjak.
"Namun kaedah dan uslub (pendekatan) boleh berubah," tambah Nasharuddin yang dikaitkan dengan kumpulan pro-muqabalah yang cenderung berkerjasama dengan Umno.
Beliau akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PAS dalam muktamar parti itu Jumaat ini - berdepan dengan dua pencabarnya - Datuk Husam Muda dan Mohamad Sabu - kedua-dua naib presiden PAS.
Perkukuh saf Pakatan Rakyat
"Kita akan perkukuhkan saf kita sendiri dan juga saf Pakatan Rakyat yang telah kita isytiharkan sebagai wadah politik kita untuk berdepan dengan Umno dan BN," katanya.
Bagaimanapun, Nasharuddin menasihat Pemuda PAS supaya jangan lupa bahawa "kita sebagai da'i (pendakwah) bertanggungjawab kepada mad'u (orang didakwah)".
"Semua di luar sana adalah mad'u kita. Kita akan terus ajak mereka untuk bersama dengan kita, berbincang, berdialog tanpa mengira siapa mereka dan ideologi politik atau kefahaman apapun yang mereka miliki," tegasanya.
Menurutnya, PAS juga mesti menjadi sebuah parti yang perlu dijenamakan semula.
"Bukan sekadar sebagai parti pembangkang tetapi PAS kini adalah sebuah parti Islam yang bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negara dalam masa terdepan dan membawa kepimpinan alternatif kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan izin Allah.
"Minda dan tindakan kita perlu dididik dan bersedia menjadi pentadbir sebenar sebuah kerajaan," tambahnya.
Nasharuddin juga meminta ahli parti itu agar sentiasa berada dalam kancah masalah rakyat dan menangani masalah mereka.
Pertahankan syura
"Bukan hanya menuding jari kepada kerajaan, sebaliknya agresif dalam menyelesaikan kekusutan yang tersimpul dek kerana kesesatan dalam memimpin rakyat," tambahnya.
Nasharuddin juga menasihatkan Dewan Pemuda PAS supaya menampil dan memasarkan politik dan produk dakwah serta mempotretkan kepimpinan bermodelkan Islam dengan sebaik-sebaiknya.
Di samping itu, tegasnya, Pemuda juga hendaklah terus mempertahankan syura (bermesyuwarah)
"Kita perlu memperbetulkan amalan yang biasa dilakukan dan membiasa amalan yang betul.
"Kita mesti berani membuat reinvention dan rebranding yang menepati sasaran dakwah kita.
"Jangan kita berlaga sesama sendiri. Jangan kita berdusta sehingga membungkar rahsia tanzim (organisasi) kita.
"Jagalah adap-adap berjemaah dan jangan sekali-kali membiarkan diri kita dipergunakan musuh sama ada kita sedar atau sebaliknya," tegasnya.
Dalam sidang akhbar kemudiannya, Nasharuddin ditanya sama ada intipati ucapannya bertujuan untuk mempertahankan jawatannya.
Dalam reaksinya, timbalan presiden PAS itu berkata beliau bercakap untuk memperjelaskan dasar parti dan tiada niat sedemikian.
Beliau juga enggan mengulas ketika ditanya mengenai cabaran Husam dan Mohamad Sabu bagi jawatan timbalan presiden Jumaat ini.