Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS: Jangan biar isu Manohara jadi kes Altantuya
Diterbitkan:  Jun 3, 2009 4:15 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengambil serius isu pergolakkan rumahtangga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Fakhry Sultan Ismail Petra dengan Isterinya, Manohara Odelia Pinot yang mengadu didera secara seksual, fizikal dan mental.

"Isu ini bakal menjadi isu besar antara dua negara, Malaysia dan Indonesia di mana Manohara yang dilaporkan telah kembali ke pangkuan ibunya di Indonesia baru-baru ini telah membuat satu tuduhan yang berat terhadap kerabat dari Kelantan itu," kata Timbalan Ketuanya, Nasaruddin Hassan Tantawi dalam satu kenyataan hari ini.

manohara odelia pinot tengku fakhry kelantan "DPPP berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik bagi mengelak persepsi negatif dan juga sentimen kenegaraan melampau yang mungkin memburukkan hubungan Malaysia dan Indonesia," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, DPPP meminta agar pihak berkuasa tidak melihat sahaja perkara ini, tetapi perlu menyiasat dakwaan itu di samping mendapatkan jawapan di pihak Tengku Temenggung.

"Bagi DPPP, ini merupakan krisis rumahtangga yang harus memberikan pembelaan kepada kedua-dua pihak tanpa kita membiarkan persepsi negatif dan prejudis bermain di fikiran rakyat kedua-dua negara.

"Kerajaan Malaysia bertanggungjawab membantu membersihkan imej Tengku Temenggong atau membela Manohara jika salah seorang antara keduanya benar.

"Kita tidak mahu isu ini menjadi buah mulut dan menjadi bahan cerita di media antarabangsa sebagaimana isu Altantuya Shaariibuu yang akhirnya memburukkan imej negara kerana Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak enggan mengambil apa-apa tindakan bagi membersihkan namanya," tambah beliau.

Bagaimanapun, katanya, DPPP mendoakan semoga kedua-dua pihak dapat mencapai persefahaman dan menyelesaikan perkara ini secara baik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS