Bekas ketua penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh mengesahkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan Angkatan Muda PKR (AMK) Perlis Isnin lalu.
Katanya, ketua AMK Perlis, Zamri Sapar dan ketua penerangannya, Asrul Nizam Abd Jalil menemui beliau bersama dua lagi pemimpin Umno tempatan di Kangar.
Dalam pertemuan tersebut, katanya, mereka membincang beberapa perkara di mana beliau telah memberi pandangannya berhubung situasi semasa politik di Perlis.
Perbincangan juga turut menumpukan kepada menentukan halu tuju yang jelas untuk kepentingan negeri dan memberi fokus kepada cara untuk menyumbang khidmat kepada rakyat.
Ditanya sama ada beliau dan ahli-ahli Umno yang dilaporkan akan menurut jejak langkahnya keluar parti, akan menyertai PKR, Hashim berkata:
"Perkara tersebut bukan digerak oleh saya. Saya hanya menyatakan hasrat saya. Cuma gerakan tertentu untuk membawa masuk PKR, adalah reaksi spontan mereka. Bukan dirancang oleh saya.
"Ini jelas membuktikan apa yang saya nyatakan, dikongsi bersama dengan aktivis-aktivis Umno yang tidak berpuashati dengan parti (Umno). Mereka berkongsi sentimen dengan saya.
Majoriti senyap Umno
"Saya tak anggap saya ini hero, cuba nak manipulasi keadaan. Tetapi ini adalah perasaan yang timbul majoriti senyap di kalangan ahli Umno.
"Ia adalah reaksi dari bawah, yang menyatakan bahawa ada yang tidak kena dalam politik di negeri Perlis," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Hashim berkata, selain mereka bertiga, dua lagi bekas pemimpin Pemuda Umno bahagian, turut menghadiri pertemuan tersebut.
Ditanya bila akan PKR, Hashim berkata, beliau akan mengumumkannya pada masa yang sesuai.
"Saya tak tentukan masanya. Saya bukan nak main politik. Saya tak mahu keputusan saya dibuat di atas pertimbangan tergesa-gesa.
"Apabila tiba masanya, saya akan beritahu. Saya mahu keputusan saya ada impak. Kalau setakat menjadi ketua kumpulan pendesak atau jurucakap pengkritik Umno, saya tidak mahu," katanya.
‘Saya tak main-main'
Menurut bekas timbalan ketua bahagian Kangar itu lagi juga berkata, terdapat dua atau tiga orang pemimpin Umno negeri, berjumpa dan memujuknya agar tidak meninggalkan Umno.
"Saya kata kepada mereka dengan jelas, saya tidak keramatkan mana-mana parti dan saya serius dengan politik. Saya tidak main-main," katanya.
Hashim berkata, pemimpin tersebut adalah "orang Md Isa dan orang Radzi" yang datang atas kapasiti peribadi, bukan arahan tokoh Umno tersebut.
Ditanya sama ada kemungkinan 500 ahli Umno di DUN Pauh keluar parti, akan melumpuhkan Umno di situ, Hashim berkata:
"Saya tak mahu komen. Apapun tindakan mereka, akan dinyatakan dalam bentuk protes terbuka. Tidak melibatkan penubuhan cawangan atau pembubaran cawangan parti politik," katanya.
Menurutnya, protes secara senyap terhadap Umno, sedang berlaku dan "semakin berkembang" di negeri tersebut.
Katanya, ia berdasarkan kepada pertemuan, maklum balas dan SMS yang diterimanya dari pemimpin bahagian Umno dan ahli akar umbi.
Tawar jawatan
DUN Pauh terletak dalam parlimen Arau yang diwakili oleh Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail.
Malaysiakini difahamkan terdapat 612 ahli PKR di bahagian Arau.
Sementara itu, Zamri ketika dihubungi Malaysiakini berkata, mengesahkan pertemuan dengan Hashim di sebuah hotel di Kangar.
Menurutnya, pertemuan tersebut berlangsung selama dua jam, mulai jam 10 pagi Isnin lalu yang turut dihadiri oleh ketua penerangan AMK, Asrul Hadi Abd Jalil (foto).
Selain Hashim, terdapat dua lagi pemimpin Umno turut hadir iaitu seorang bekas ketua Pemuda cawangan dan pengerusi tetap Pemuda Umno bahagian Arau, Ismail Hashim.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti bekas ketua Pemuda tersebut.
Menurut Zamri, pihaknya sudah mempunyai tarikh yang sesuai untuk Hashim menyertai PKR tetapi enggan mendedahkannya.
Ditanya sama ada PKR menawarkan sebarang jawatan kepada Hashim, Zamri (foto) berkata pihaknya ada menawarkan jawatan "yang bersesuaian dengannya".
Ditanya mengenai reaksi Hashim apabila diberitahu mengenai tawaran jawatan tersebut, Zamri berkata,
"Datuk Hashim kata, Insya Allah, saya akan bersama dengan saudara".