Terdapat ahli dan penyokong Umno di DUN Penanti keluar mengundi hari ini, terutama di kawasan Kuala Mengkuang, dakwa calon bebas Aminah Abdullah.
Calon bebas yang menggunakan lambang kunci itu berkata, beliau sendiri yang pergi mengangkut pengundi tersebut ke pusat pengundian.
"Saya tahu mereka ahli dan penyokong Umno kerana saya pergi sendiri ke rumah mereka.
"Tetapi jumlahnya tidak terlalu ramai, berpuluh orang sahaja.
"Dan mereka kata hendak pangkah calon kunci (Kak Min)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Aminah, ahli Umno yang keluar mengundi kerana mempunyai mempunyai kesedaran untuk mengundi.
Ketika ditanya peluangnya dalam pilihanraya kecil ini, Aminah berkata, beliau tidak tahu mengenai peluangnya.
"Tetapi ada orang PKR kata saya tidak boleh menang. Bagaimanapun, tunggu lah keputusannya nanti," katanya.
Aminah berdepan dengan calon PKR, Dr Mansor Othman dan dua lagi calon bebas, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan Kamarul Ramizu Idris, 42.
BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.