Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK S'gor dakwa isu ancaman PKM dipolitikkan
Diterbitkan:  May 28, 2009 1:24 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membidas pihak-pihak tertentu yang didakwanya mempolitikkan isu mengenai kembalinya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) berhubung saranan supaya bekas pemimpin PKM, Chin Peng dibenarkankan pulang ke Malaysia.

Ketuanya, Khairul Anuar Bin Ahmad Zainuddin mendakwa, ia hanyalah mainan politik pihak-pihak tertentu untuk mengembalikan sokongan rakyat setelah isu-isu mengenai ketuanan Melayu, DEB, sensitiviti umat Islam, liberalisasi perdagangan dan konsep Satu Malaysia, gagal mengembalikan sokongan rakyat.

Berikutan itu, katanya, AMK Selangor berharap isu membawa pulang bekas ketua PKM itu tidak menjadi satu lagi isu sensasi politik pihak-pihak tertentu yang semakin hilang sokongan rakyat.

"Amat jelas isu ini sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula lagi.

"Kini rakyat Malaysia lebih bijak dan pintar dalam menganalisis sesuatu isu melalui perkembangan semasa revolusi maklumat global," katanya dalam satu kanyataan hari ini.

Laporan KDNK

Sebaliknya, kata Khairul Anuar, AMK Selangor menggesa kerajaan semasa agar memberikan penumpuan dan fokus khas kepada pemulihan dan pembaharuan ekonomi.

"Laporan terkini berkenaan KDNK negara serta data dan statistik ekonomi negara yang tidak memberangsangkan, perlu diambil perhatian dan tindakan perlaksanaan yang pantas," katanya.

AMK Selangor juga mempertikaikan tindakan pantas pihak kerajaan yang didakwanya begitu cepat meminta bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin.

"Sedangkan isu akuan bersumpah (penyiasat persendirian) P Balasubramaniam seolah-olah tiada berita dan perkembangan terkini," katanya.

Sehubungan itu, Khairul Anuar menggesa kerajaan dan pihak polis supaya membawa pulang seberapa segera Balasubramaniam bagi membantu siasatan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu melalui akuan bersumpahnya yang bertarikh 1 Julai 2008.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS