Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rais: Isu blog komunis ke kabinet
Diterbitkan:  May 25, 2009 6:56 PM
Dikemaskini: 11:33 AM

Isu penyebaran sejarah komunis termasuk di blog dan laman web jaringan sosial akan dibawa kepada perbincangan jemaah menteri, kata menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan.

"Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bukan di bawah bidang tugas saya, tetapi saya sedang berurusan dengan menteri berkenaan supaya dia juga bersiap siaga melihat kecenderungan seperti

ini," kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan seperti ISA terhadap pihak yang cuba memberi gambaran positif terhadap komunis, lapor Bernama .

"Apa-apa maklumat yang kita miliki kita akan sampaikan kepada pihak berkuasa pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini kerana didapati ada beberapa blog yang sudah mula muncul seolah-olah beri pujian melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme serta angkara yang mereka lakukan," katanya lagi.

Sebuah akhbar semalam melaporkan laman Facebook memuatkan satu daftar Parti Komunis Malaya (PKM) - dengan 19 orang sebagai "penyokong" - dan blog " Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam " menceritakan perjuangan gerakan gerila Melayu dalam pertubuhan yang diharamkan itu.

Menurut agensi berita itu lagi, Rais juga menyeru rakyat agar tidak terburu-buru mengikuti dan meminati pembaharuan yang dibuat sesetengah pihak khususnya penulis blog yang cuba mendewa-dewakan fahaman komunisme.

"Komunis telah mendera negara ini dan kita telah dibelenggu melalui

pembunuhan dan pelbagai tindakan dahsyat, ribuan yang telah mati di tangan komunis sudah cukup bagi kita untuk insaf supaya kita tidak keluarkan sesuatu yang menyamarkan fikiran kita terhadap satu rejim yang begitu dahsyat ketika dulu," katanya.

Dr Rais berkata, komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini kerana dosa mereka membunuh beribu-ribu rakyat Tanah Melayu pada ketika itu tidak boleh dilupai.

Sehubungan itu beliau meminta pemimpin yang melahirkan perasaan positif terhadap bekas pemimpin PKM Chin Peng supaya menyatakan

pendirian mereka dengan jelas dan tidak berlindung di belakang tabir parti politik masing-masing.

"Komen saya mudah, Chin Peng dan para komandonya yang bunuh ramai orang dahulu sekali-kali tidak ada tempat bagi kita untuk bermuafakat," Dr Rais dipetik berkata selepas menyampaikan syarahan 1Malaysia kepada para pegawai kanan kementerian itu di Angkasapuri hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai desakan Gerakan Pulau Pinang supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia atas sebab

kemanusiaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS