Pakatan Rakyat menganjurkan mogok lapar 72 jam bagi mendesak pembubaran DUN Perak dalam usahanya menentang pengambilalihan kuasa BN sejak Februari lalu.
Mogok lapar yang bermula jam 10 pagi Selasa ini di Wisma DAP negeri, di depan bangunan DUN, akan dirasmikan oleh menteri besar gabungan pembangkang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan speaker mereka V Sivakumar.
Ia akan berakhir dengan solat hajat pada petang Khamis ini di pejabat Perak.
Program bantahan seumpama itu pertama kali sejak krisis itu berlarutan hampir empat bulan lalu walaupun Mahkamah Rayuan semalam mengesahkan pelantikan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar.
Mohammad Nizar akan menfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan panel tiga hakim di Putrajaya yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 11 Mei lalu.
"Kempen mogok lapar adalah satu usaha serius untuk menghantar satu mesej supaya hak demokrasi dikembalikan kepada semua rakyat," kata setiausaha DAP negeri Nga Kor Ming.
"Sebuah kerajaan yang demokratik mesti mendapat dari rakyat. Rakyat tidak mahu kerajaan mereka ditentukan oleh seorang hakim sahaja, sebaliknya hak asasi rakyat Perak berjumlah 2.4 juta untuk pilih kerajaan sendiri ditolak begitu sahaja."
Beberapa ADUN Pakatan di Perak yang tiada masalah kesihatan dijangka turut menyertai mogok tersebut.
Selain itu, mereka juga menganjurkan orang ramai berpakaian hitam.