Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahidan: Ahli Umno keluar parti kerana dibuang dari JKKK

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mangakui beliau ada mendengar cerita ramai ahli Umno di negeri itu telah menyertai pembangkang.

Katanya, mereka termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

shahidan kassim 02 Shahidan yang kini menjadi penasihat kepada perdana menteri bagi wilayah pembangunan koridor utara (NCER) berkata, pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri.

"Setakat ini 16 atau 17 ketua cawangan dan bekas ketua cawangan telah dibuang dari JKKK, menyebabkan mereka dan yang lainnya, tidak puas hati.

"Ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno dipinggir dan kerajaan negeri tidak mengambil kisah perkara tersebut.

"Pembangkang pula telah mengambil kesempatan daripada perkara tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sehubungan itu, Shahidan menasihatkan Menteri Besar Perlis, Datuk Md Isa Sabu supaya tidak memekakkan telinga terhadap perkara tersebut.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, tindakan ahli Umno menyertai pembangkang bukan sahaja berlaku di bahagian Kangar tetapi juga di Padang Besar.

Marah pada MCA?

"Saya kenal mereka itu semua. Mereka adalah bekas pemimpin Umno di Kangar.

"Betullah angka itu," katanya ketika diminta mengulas laporan Malaysiakini semalam bahawa 1,000 ahli Umno di bahagian tersebut menyertai PKR.

Sementara itu, seorang pemimpin Umno bahagian Padang Besar, ketika dihubungi Malaysiakini, juga mengakui ramai ahli Umno di bahagian itu yang keluar parti.

Bagaimanapun pemimpin yang enggan namanya disiarkan itu tidak dapat memberi angka sebenar ahli Umno yang keluar parti.

Katanya, mereka bertindak demikian kerana marah kepada pemimpin MCA bahagian yang membuang ahli JKKK di beberapa tempat di Padang Besar.

Beliau mendakwa, tindakan pemecatan ahli Umno yang menjadi ahli JKKK itu disokong pula oleh Md Isa.

"Mana boleh pemimpin MCA memecat ahli JKKK yang terdiri daripada ahli-ahli Umno," katanya.

ADS