Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas menangguhkan idea kerajaan perpaduan dengan BN, kini cadangan penyertaan bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS, turut menerima nasib yang sama.

Mursyidul amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat bagaimanapun menyifatkan penangguhan itu sebagai "masalah pentadbiran" bagi mengelakkan "serangan habis-habisan" pihak Umno.

"Saya berterima kasih atas kesudian ahli kelab penyokong PAS untuk menjadi ahli (bersekutu). Saya dengar, mesyuarat PAS pusat telah menerima (cadangan) membolehkan orang bukan Islam menjadi ahli PAS.

kuala terengganu by election dap dinner 140109 nik aziz "Cuma tidak sampai masa lagi, (sebab) bimbang Umno dok serang kita habis-habisan. Maka terbalik (terancam) macam DAP satu masa dulu bersama dengan kita dalam Barisan Alternatif. DAP sudah masuk, tetapi dia keluar balik," katanya.

Beliau mengulas status pembukaan keahlian PAS kepada bukan Islam ketika bercakap dalam sidang akhbar khas di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu pagi ini.

November tahun lalu, hasil daripada pemukiman di Langkawi, pemimpin PAS sepakat untuk membuka keahlian parti itu kepada bukan Islam bagi menghargai sokongan mereka dalam pilihanraya umum lalu.

Kelab penyokongnya pula akan diangkat menjadi satu dewan yang setaraf dengan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dalam organisasi parti tersebut.

Kemelut politik Perak

Mengulas lanjut, Nik Aziz berkata, perpecahan Barisan Alternatif dahulu disebabkan peranan MCA yang menonjolkan PAS sebagai Taliban sehingga menyebabkan DAP menarik diri.

Dalam sidang media itu yang disiarkan secara langsung di internet itu, Nik Aziz juga berharap penyertaan bukan Melayu dalam sayap parti itu akan lebih besar.

"Suatu hari nanti, bukan sahaja Dewan Pemuda dan Muslimat akan diisi oleh orang Cina dan India, Dewan Ulama pun saya harap orang Cina Muslim akan menjadi anggotanya," katanya.

Sementara itu, mengulas krisis perlembagaan di Perak selepas kes tersebut dibawa ke mahkamah, Nik Aziz berkata, menteri besar patut diputuskan oleh rakyat, bukannya hakim (mahkamah).

"Dewan Undangan Negeri Perak mesti dibubarkan dan beri semula (kuasanya) kepada hakim. Maksud hakim di sini ialah rakyat. Rakyat yang menjadi hakim (untuk) memilih wakil tertentu untuk duduk dalam dewan.

"Saya jadi menteri besar, dan semua menteri besar lain, dipilih oleh rakyat, bukan hakim mahkamah. Saya pelik sekarang ini, kenapa hakim mahkamah pilih menteri besar?

"Ini perkara pelik. Perkara yang tidak patut berlaku. Mengaibkan rakyat dan mengaibkan demokrasi. Lama dah (kita) dok sebut perkara ini tetapi degil tak mahu (bubar DUN). Dan orang macam ini tidak ada hak hidup atas muka dunia ini," katanya.

Mahkamah Rayuan semalam membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

ADS