Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata beliau menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah.
"Saya menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran terbuka. Saya serta rakan-rakan akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan ringkas dikeluarkan melalui Setiausaha Akhbarnya Mohd Nizam Isa.
Zambry juga meminta semua penyokong Barisan Nasional (BN) dan rakyat negeri Perak supaya bertenang dengan perkembangan berkenaan, lapor Bernama.
"Kita akan kemaskan barang-barang dan mengosongkan pejabat secepat mungkin," kata Mohd Nizam.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai menteri besar yang sah kerana tiada kekosongan jawatan berlaku dan tiada usul undi tidak percaya terhadap beliau dibuat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri.
Zambry, 47, anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor, telah mengangkat sumpah sebagai menteri besar ke-11 di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 6 Februari lalu.
Ia berlaku apabila Barisan Nasional yang sebelum itu mempunyai 28 kerusi DUN mendapat sokongan dua bekas wakil rakyat PKR dan seorang bekas wakil rakyat DAP yang mengisytiharkan diri mereka anggota bebas.
Sementara itu, suasana di pejabat Menteri Besar Perak di bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh tenang dengan anggota media berkumpul di situ untuk mendapatkan reaksi Zambry.
ADUN Pengkalan Baru Datuk Hamdi Abu Bakar bagaimanapun memberitahu pemberita bahawa Zambry pada waktu itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis sambutan ulang tahun Umno ke-63 malam ini.
Pegawai Khas Dr Zambry, Khairul Azwan Harun meminta semua media beredar dari pejabat berkenaan pada kira-kira jam 5.15 petang tadi kerana waktu pejabat telah berakhir.
Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis akan mengadakan kawalan di sekitar bangunan berkenaan bagi memastikan keadaan keselamatan terkawal.
Mulai jam 5.30 petang, beberapa unit Unit Simpanan Perkutuan (FRU) tiba di sekitar bangunan itu dan mula mengadakan kawalan.
Pesuruhajaya PAS Perak, Ahmad Awang berkata keputusan mahkamah mengesahkan Mohammad Nizar sebagai menteri besar memang telah dijangka.