Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nizar minta Zambry lepas jawatan MB
Diterbitkan:  May 11, 2009 5:26 PM
Dikemaskini: 4:52 PM

Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menggesa Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kair dan enam anggota exconya supaya melepaskan jawatan serta-merta.

Ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.

Nizar kini dalam perjalanan pulang untuk memohon menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Nizar perlu mendapatkan persetujuan baginda bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan pilihanraya negeri yang baru.

Bagaimanapun, difahamkan Sultan Perak kini sedang berada di luar negeri.

Nizar dijangka menghadap Raja Muda Perak, Raja Nazrin pagi esok.

Dalam satu kenyataan Nizar berkata, penghakiman hari ini bermakna undang-undang perlembagaan adalah pemenang sebenarnya.

'Keputusan berani'

Sambil menyifatkan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim seorang yang berani, Nizar berkata, semua orang mendapat manfaat daripada penghakiman tersebut kerana badan kehakiman yang bebas benar-benar diperlukan untuk kebaikan mana-nana negara dan rakyatnya.

Beliau juga berkata, semua keputusan yang dibuat oleh Zambry dan barisan exconya adalah tertaklluk kepada semakan tetapi tidak terbatal sehingga notis selanjutnya, kecuali pemanggilan sidang DUN pada 7 Mei lalu.

Sementara itu, seorang pembantu Zambry memberitahu media bahawa BN Perak akan menghormati keputusan mahkamah dan akan segera mengosong pejabat mereka.

Sementara itu, dalam reaksinya, pemimpin DAP, Lim Kit Siang memuji keputusan tersebut.

Menurutnya, ini merupakan kali pertama mahkamah memulihkan keyakinan rakyat terhadap bidang kehakiman.

Bagaimanapun, BN masih mempunyai kelebihan di Dewan Undangan Negeri.

Manakala mahkamah tidak mengiktiraf pelantikan Zambry sebagai menteri, tetapi pelantikan Speaker baru DUN Perak, Datuk R Ganesan adalah masih sah.

Ekoran itu, Ganesan boleh memanggil sidang khas DUN di mana usul tidak percaya oleh dikemukakan terhadap Nizar.

Dengan sokongan '28 + 3' ADUN, berbanding 28 ADUN Pakatan, BN tidak menghadapi masalah untuk meluluskan usul tersebut.

FRU berkawal

Sementara itu, beberapa trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat tiba di di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.

Pejabat Menteri Besar Perak dan anggota exco kerajaan negeri terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdulah menasihatkan orang ramai supaya tidak berkumpul di bangunan tersebut bagi mengelak keadaan yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan kepada mereka yang tidak mematuhi arahan ini.

"Polis telah diarah berada di kawasan bangunan tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku", katanya kepada Bernama.

Selain polis, katanya, FRU juga telah diarah berkawal di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Katanya sehingga jam 6.30 petang ini keadaan adalah terkawal.

Baca berita penuh


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS