Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Hindraf balik 'walau ditahan ISA'
Diterbitkan:  May 11, 2009 11:14 AM
Dikemaskini: 6:40 AM

Selepas abangnya P Uthayakumar dibebaskan daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pengerusi Hindraf bercadang pulang ke Malaysia "tanpa mengira dapat atau tidak" keizinan kerajaan.

P Waytha Moorthy, yang melarikan diri ke United Kingdom sejak penangkapan abangnya hujung 2007, kini tiada lagi pasport setelah ditarik oleh Malaysia.

"Sekarang rakan-rakan seperjuangan saya telah dibebaskan, saya memutuskan akan kembali ke malaysia bagi meneruskan dan memenuhi matlamat asal Hindraf walaupun terpaksa ditahan bawah ISA atau undang-undang lain yang menindas," katanya.

"Saya telah meminta nasihat ramai penyokong akar umbi dan mereka berpendapat bahawa saya tidak wajar pulang kerana saya mungkin ditahan dan dipenjara."

Uthayakumar dan dua lagi pemimpin kanan pertubuhan haram tersebut M Manoharan dan T Vasanthakumar dibebaskan dari kem tahanan di Perak, Sabtu lalu.

Dua lagi yang ditahan pada Disember 2007 dibebaskan awal bulan lepas.

Dalam kenyataannya hari dari luar negara, Waytha Moorthy menambah, sebagai sebuah organisasi yang kuat, Hindraf akan dapat dipimpin oleh tokoh lain sekiranya beliau ditahan apabila menjejakkan kaki ke Malaysia.

"Jika kerajaan menangkap atau menahan saya, akan ada ramai lagi yang sedar dalam masyarakat India akan mengepalai perjuangan untuk pembaikan masyarakat dan negara," katanya.

Jelasnya lagi, beliau melarikan diri ke luar negara waktu itu bagi meneruskan perjuangan Hindraf - yang dianggapnya masih di peringkat awal - di luar negara apabila lima pemimpin utamanya ditahan ISA.

"Kerana itu, saya bertolak ke UK bagi meneruskan perjuangan dan menghidupkan pergerakan tersebut dengan sokongan antarabangsa sehingga kerajaan Malaysia menarik balik pasport saya dan memaksa saya mendapatkan perlindungan daripada kerajaan Britain," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS