Bekas penyelaras Hindraf, RS Thanenthiran begitu gembira sekali apabila mendapat tahu bahawa baki tiga lagi pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dibebaskan.
Sambil menegaskan kempen dan doa Hindraf selama ini telah dikabulkan, Thanenthiran bagaimanapun berkata Menteri Dalam Negeri (KDN) sepatutnya membebaskan kesemua tahanan ISA.
Tiga pemimpin Hindraf yang dibebaskan hari ini ialah Pensihat Hindraf, P Uthayakumar; ADUN DAP Kota Alam Shah, M Manoharan dan setiausaha organisasinya, T Vasanthakumar.
“Tuhan akhirnya memakbulkan doa supaya pemimpin kami dibebaskan. Saya mengucapkan terima kasih kepada menteri berkenaan kerana membebaskan mereka," kata Thanenthiran kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengarahkan pembebasan dua lagi pemimpin Hindraf - V Ganabatirau dan R Kengadharan - sejurus selepas beliau dilantik memegang jawatan berkenaan.
Lima pemimpin Hindraf itu ditahan pada December 2007 selepas mereka menganjurkan perhimpunan besar-besaran di ibunegara pada Kuala Lumpur.
Walaupun tidak lagi menjadi pemimpin Hindraf, namun Thanenthiran berkata, beliau akan terus berkempen untuk pembebasan kesemua tahanan ISA, serta pemansuhan ISA serta penutupan kem tahanan Kamunting.
“Hishammuddin sepatutnya melakukannya (membebaskan semua tahanan ISA) sekarang. Beliau pasti mencipta sejarah jika membebaskan semua tahanan (ISA)," katanya.
Sementara itu, Uthayakumar dijangka menubuhkan sebuah parti politik baru.
Strategi baru itu merupakan alasan utama pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy merombak barisan kepimpinan Hindraf, termasuk peletakan jawatan Thanenthiran sebagai penyelaras nasional pergerakan itu.