Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tindakan berani PAS Bukit Bintang mencalonkan mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden didakwa mendapat pujian pemimpin banyak kawasan.

Yang dipertuanya Radhi Hashim memberitahu Malaysiakini , beliau banyak mendapat pujian "berani" daripada pemimpin kawasan-kawasan melalui pesanan SMS dan dan panggilan telefon.

Selain Bukit Bintang, katanya, setahunya tidak ada kawasan lain setakat ini mencalonkan menteri besar Kelantan untuk bertanding jawatan teratas PAS.

Kawasan itu buat pertama kali mencipta kegemparan dalam parti apabila mencalonkan Nik Aziz untuk mencabar Abdul Hadi - dua tokoh kanan PAS yang dilaporkan sering bergeser dalam isu muzakarah dengan Umno dan kerajaan campuran dengan BN.

Bukit Bintang juga turut mencalonkan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu untuk merebut timbalan presiden yang kini disandang Nasharuddin Mat Isa.

Manakala Datuk Nik Amar Nik Abdullah, exco kerajaan Kelantan, dan peguam Hanipa Maidin sebagai calon naib presiden. Kawasan itu mahu mengekalkan Datuk Husam Musa sebagai naib presiden.

Keputusan tersebut dicapai sebulat suara oleh 12 anggota jawatankuasa kerja Bukit Bintang pada 19 April lalu selepas selesai mesyuarat agung kawasan.

Radhi menambah, beliau tidak mendapat sebarang tekanan daripada mana-mana pemimpin kawasan atau pemimpin PAS berhubung pencalonan Nik Aziz itu.

Muktamar PAS pada awal Jun ini bakal menyaksikan pertembungan sengit pemimpin-pemimpin dua aliran utama parti tersebut, pro-muzakarah dan pro-Pakatan (atau dikenali kumpulan Erdogan).

Persidangan tahunan parti tersebut dijadual berlangsung pada 3 hinga 7 Jun di Stadium Malawati, Shah Alam.

Menurut peraturan pemilihan PAS, setiap calon harus mendapatkan sekurang-kurangnya dua pencalonan untuk layak bertanding.

Ditanya mengenai kekuatan sokongan terhadap Mohamad, Radhi berkata, pemimpin PAS itu mendapat 27 atau 28 pencalonan daripada Perlis, Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Beliau tiada maklumat pencalonan daripada Terengganu, Kelantan dan Selangor terhadap penceramah paling popular PAS itu.

Ditanya peluang Mohamad memenangi jawatan tersebut pada pemilihan nanti, Radhi berkata:

"Saya yakin beliau (Mohamad) akan menang walaupun pertandingan tiga atau empat penjuru.

"Dengan alasan, ketegasan dan keberanian yang dibawanya. Perwakilan melihat itu."

Muktamar tahun ini dijadual disertai lebih 1,000 perwakilan dari 173 kawasan PAS di seluruh negara. Pemilihan dan muktamar Pemuda, Muslimat dan Ulama dijadual 4 Jun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS