Polis merampas semua pakaian hitam 14 penyokong seorang aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan depan balai polis Brickfields malam tadi.
Rampasan itu sebagai "bukti" pembabitan mereka dalam satu perhimpunan yang dianggap haram di tepi pintu masuk ibu pejabat polis daerah tersebut.
Ahli keluarga atau rakan mereka diminta membawa satu salinan pakaian lain sebelum membebaskan mereka sekitar 3.30 petang ini.
Kesemua mereka keluar dengan pakaian hijau kebiru-biruan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang dipinjamkan oleh NGO tersebut.
Pembebasan mereka disambut dengan jerita kegembiraan ahli keluarga dan rakan-rakan.
Sementara lima peguam yang turut ditahan di tempat yang sama dua jam selepas itu dibebaskan lebih awal di balai polis tersebut.
Penahanan pengamal undang-undang ini mencetuskan kemarahan 200 peguam yang berhimpun di kompleks mahkamah Jalan Duta pagi tadi.
Kecuali peguam, kesemua mereka berpakaian hitam sebagai menyatakan sokongan kepada Wong Chin Huat - jurucakap Bersih yang ditahan reman di balai tersebut sejak kelmarin - yang menyeru orang ramai berpakaian demikian bagi membantah persidangan DUN Perak semalam.
Wong (foto, kiri sekali) , yang mengetuai kempen "1Black Malaysia" dalam satu sidang media Selasa lalu, dibebaskan jam 3.30 petang hari ini di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan.
Berbeza dengan penyokongnya, Wong keluar dengan pakaian hitam yang dipakainya sewaktu ditahan.