Tiga pemimpin Hindraf - masih berada di kem tahanan Kamunting - bersama 10 yang lain akan dibebaskan daripada kurungan Akta Keselamatan Dalam Negeri, demikian diumumkan hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein membuat pengumuman demikian di sidang media khas di Putrajaya sebentar tadi.
Tiga pemimpin ini termasuk ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan, dan penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar.
Mereka akan dibebaskan dalam waktu terdekat apabila proses dokumentasi pembebasan selesai, kata Hishammuddin lagi.
Daripada lima tokoh terkanan Hindraf yang ditahan pada Disember 2007 bawah akta kontroversi tersebut, dua daripadanya telah dibebaskan awal bulan lalu sejurus selepas Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 3 April.
R Kenghadharan dan V Ganabatirau dibebaskan bersyarat dalam kumpulan 13 tahanan ISA seperti diumumkan Najib sewaktu ucapan sulungnya ke seluruh negara.
Seorang lagi T Vasantha Kumar akan dibebaskan bersama Manoharan - yang menimbangkan untuk melepaskan jawatan ADUN baru-baru ini dengan alasan gagal berkhidmat kepada para pengundi kawasannya.
Tahanan lain yang akan dibebaskan: Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil dan Admi Pindatun (Malaysia), Zainun Rasyid dan Aboud Ghafar Shahril (Indonesia), dan Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih (Filipina).
"Pembebasan kesemua tahanan rakyat tempatan akan dibuat dalam tempoh dua tiga hari lagi sebaik semua proses dokumentasi selesai dan tahanan warga asing pula akan dibebaskan selepas kita mengatur dan mengambil tindakan pengusiran dengan pihak Manila dan Jakarta," kata Hishammuddin kepada pemberita di pejabatnya.
Menjawab satu soalan, beliau menafikan pembebasan Manoharan ada kaitan dengan hasrat pemimpin Hindraf itu untuk melepaskan jawatan ADUN.
"Jauh sekali. Sebaliknya kita mendapati kesemua yang akan dibebaskan itu tidak lagi menjadi ancaman kepada negara," katanya.