Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan polis terhadap Sivakumar
Diterbitkan:  May 7, 2009 1:01 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

dikemaskini 3pm Kekecohan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 'melimpah' ke luar dewan apabila Pemuda Umno negeri itu membuat laporan polis terhadap Speaker V Sivakumar hari ini.

Ia dibuat bagi pihak pergerakan itu, oleh naib ketua Pemuda Umno bahagian Teluk Intan, Saiful Adli Mohd Arshad.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Saiful Adli berkata beliau membuat laporan polis itu di ibupejabat polis pusat daerah Ipoh, bagi pihak Pemuda Umno negeri.

Saiful membuat laporan polis itu kerana Sivakumar mengarahkan Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan enam lagi ADUN BN keluar dari sidang DUN Perak pagi ini.

Beliau mendakwa tindakan Sivakumar itu sebagai menghina mahkamah.

Dalam laporan polisnya, Saiful Adli berkata, pada jam 10.20 pagi tadi beliau berada di luar bangunan SUK Perak dan menerima SMS berita dari akhbar the Star yang berbunyi: " 7/5 Sidang DUN Perak: Speaker DUN arah MB Perak, 6 Exco dan 3 ADUN bebas keluar dewan sebelum dirasmi Raja Muda Perak/MStar".

Berikutan itu, katanya, beliau membuat laporan polis itu kerana mendakwa tindakan Speaker DUN Perak itu - V Sivakumar - telah menghalang perjalanan sidang DUN, menghina dan mengingkari keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 dan 16 April lalu.

Pada tarikh-tarikh berkenaan, mahkamah tersebut mengisytiharkan bahawa menteri besar, enam exco dan tiga ADUN bebas terbabit, sah menjadi ADUN Perak.

Sehubungan itu, Saiful Adli meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Speaker DUN Perak, YB V Sivakumar.

Beliau mendakwa, perbuatan Sivakumar itu telah dan akan menimbulkan kekecohan, kegusaran dan kegelisan rakyat amnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS