Pemuda Umno Kelantan dan Selangor mula merangka strategi untuk menarik sokongan orang muda supaya menyokong pergerakan mereka dalam usaha merampas negeri Pakatan Rakyat itu pada pilihanraya umum akan datang.
Kedua-dua Pemuda negeri itu merancang program dan pendekatan berbeza.
Bagaimanapun kedua-duanya belum mempunyai rancangan yang konkrit, setakat ini, kerana belum mengadakan mesyuarat pertama selepas penggantian ketua Pemuda minggu lalu.
Selangor menumpukan usaha turun padang, manakala Kelantan hanya mahu mengadakan program secara kecil-kecilan.
Kelantan, kata ketua Pemudanya Annuar Shafian, mempunyai tugas yang lebih sukar kerana ia telah diperintah oleh PAS hampir 20 tahun.
"Ini satu tugasan yang sukar tetapi saya memberi jaminan Pemuda Umno negeri tidak lagi mengadakan program secara besar-besaran yang lebih merupakan 'syok sendiri'.
"Lebih baik membuat secara kecil-kecillan di peringkat cawangan asalkan ia mendapat kesan," katanya, yang juga ketua Pemuda Umno Kubang Kerian.
"Sebelum ini program Pemuda dibuat secara besar-besaran di dalam dewan yang besar tetapi nampaknya mereka tidak mengundi kita."
Annuar berkata, pergerakannya memberi fokus kepada masalah pengangguran generasi muda an kemalapan persatuan-persatuan belia.
"Isu-isu ini kena tangani untuk menarik mereka menyokong Pemuda Umno," katanya.
Barisan exco Pemuda Kelantan akan mengadakan mesyuarat pertamanya, Jumaat ini di Kota Bharu.
Pemuda Umno Selangor pula akan mengadakan mesyuarat pertama minggu depan untuk menggariskan secara mendalam programnya tahun ini.
Ketuanya Suhaimi Ghazali berkata, Pemuda akan mendampingi orang muda di negeri itu sehingga menjadi "tempat mengadu".
"Program turun ke bawah menjadi keutamaan (kita). Selama ini ada orang nampak Pemuda sebagai satu kumpulan yang elit dan kerana itu, mereka seolah-olah tidak mahu bersama Pemuda," katanya, yang juga ketua Pemuda Umno Sepang.
Tambahnya, program yang dibuat itu berbeza antara satu bahagian dengan bahagian lain berdasarkan latar belakang mereka dan masalah yang dihadapi.
"Sasarannya ialah pemuda yang berumur 18 hingga 20 tahun dengan seberapa ramai yang boleh," katanya.
Kedua-duanya baru dilantik menerajui pergerakan itu dalam rombak besar-besaran, Jumaat lalu, bawah kepemimpinan Khairy Jamaluddin.