Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS bakal menyaksikan perebutan sengit jawatan timbalan presidennya apabila seorang calonnya Mohamad Sabu bertegas enggan berundur walaupun kemungkinan diasak calon sepopular Datuk Husam Musa.

Mohamad, yang juga naib presiden PAS berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan Husam dan menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut.

"Kerana orang yang hendak pimpin saya mestilah lebih berani dan lebih pandai daripada saya.

"Sama ada anda bersama saya atau anda tinggalkan," katanya di sidang media di pejabat PAS di ibu negara hari ini, yang dipanggil untuk mengumumkan solat hajat khas bersempena sidang DUN Perak. Khamis ini.

Selain Mohamad dan Husam; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan exco kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali juga menawarkan diri bertanding jawatan penting itu.

Husam, exco kerajaan Kelantan dan naib presiden PAS, dianggap calon pilihan untuk jawatan tersebut - khususnya dalam sentimen aliran anti-muzakarah dengan Umno dan penentang idea kerajaan perpaduan dengan BN.

Mohamad dan Husam dikenali sebagai dua pemimpin kanan yang tidak selesa dengan rundingan sulit PAS-Umno awal tahun lalu yang merebak menjadi isu besar dalam muktamar di Ipoh, Ogos lepas.

Penyandang jawatan Nasharuddin Mat Isa sehingga ini belum memutuskan sama ada mempertahankan jawatan itu. Beliau dipercayai akan bersaing untuk mengekalkannya.

Muktamar PAS bermula 4 Jun ini di Shah Alam akan diwarnai persaingan sengit jawatan-jawatan tertinggi, termasuk naib presiden dan ketua dewan-dewan utama parti, susulan wujudnya dua aliran besar tersebut.

Diminta mengulas sama ada parti itu kini berdepan konflik antara kelompok ulama dan profesional, Mohamad berkata beliau sendiri terlibat menegakkan kepemimpin ulama PAS pada 1982.

Mohamad bersama pemimpin Pemuda - yang dianggap terpengaruh dengan revolusi Islam di Iran pada 1979 - menggulingkan Datuk Asri Muda, seorang pemimpin nasionalis.

Diminta mengulas usaha segelintir PAS Pulau Pinang untuk bertanding di DUN Penanti, Mohamad berkata:

"Mereka boleh berkata mahu bertanding tetapi majlis presiden (Pakatan Rakyat) yang memilih calon dan parti mana yang akan bertanding."

"Seperti (DUN) Bukit Selambau, Umno kata hendak bertanding tetapi akhirnya diberikan kepada MIC," tambahnya.

Mengulas larangan mendirikan pondok panas dan merayu undi pada pilihanraya tersebut 31 Mei ini, Mohamad berkata partinya akan tetap membina bangsal untuk kegunaan pada hari mengundi.

Tambahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah berbincang dengan parti-parti politik sebelum mengeluarkan larangan tersebut, 27 April lalu.

Mohamad berkata, pilihanraya peringkat negeri Perak perlu diadakan untuk memberi peluang kepada rakyat memilih kerajaan baru - susulan krisis perebutan kuasa antara BN dengan gabungan pembangkang sejak Februari lepas.

Beliau juga mengumumkan PAS menganjurkan program munajat perdana di sebuah masjid di Manjoi menjelang subuh Khamis ini.

[VIDEO:17010]

ADS