Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Nik Abduh - anak kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat - menjadi sasaran kritikan keras dua pemimpin yang dikaitkan dengan "Kumpulan Erdogan" selepas menghentam pembantu bapanya dalam isu kerajaan perpaduan yang dicadangkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

abdul khalid samad Ahli jawatankuasa PAS pusat, Khalid Samad menyifatkan "tuduhan secara borong" Nik Abduh itu sebagai "tidak bertanggungjawab", "kurang matang" dan "mengundang fitnah".

"Tuduhan semberono macam ini bagi saya tidak bertanggungjawab dan mengundang fitnah. Hasil daripada tuduhan ini, akan wujud suasana syak-wasangka dan saling tuduh-menuduh di antara pembantu-pembantu yang entah mana satu," coretnya dalam blognya hari ini.

Sebelum ini, Nik Abduh menghentam pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi.

nik mohd abduh nik aziz Dalam blognya sebelum ini, Nik Abduh juga menyifatkan pembantu-pembantu bapanya sebagai "mereka yang hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup', lalu mendakwa diri mereka pun ulama juga".

Mengulas lanjut, Khalid menasihatkan budaya "menggunakan istilah menghina terhadap sahabat seperjuangan" dalam parti hendaklah dihentikan.

"Saya harap budaya ini ditamatkan. Dan sebagai pemimpin Pemuda peringkat nasional, Nik Abduh patut menunjukkan contoh yang baik.

'Sikap angkuh'

"Istilah-istilah seperti 'pejuang nafsu', 'ulama mi celup' dan sebagainya amat tidak sesuai digunakan. Ia menghina orang lain dan menzahirkan satu sikap yang terlalu angkuh," coretnya lagi.

Khalid juga berkata, dakwaan Nik Abduh bahawa bapanya "menerima muzakarah atau muqabalah, selepas bermatian menolaknya" sebagai "tidak tepat".

"TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) tak pernah menerima ‘muzakarah' dan itulah sebabnya mengapa akhirnya istilah yang diguna ditukar kepada ‘muqabalah'.

"Ulama 'mi celup' pun faham beza muzakarah dan muqabalah, takkan yang 'ulama mi goreng' tak faham? Yang mi goreng ini lama sikit berada dalam kuali," sindirnya.

Sementara itu, Exco Pemuda PAS Pusat, Abdullah Abdul Karim mendesak rakan sejawatannya itu mendedahkan nama pembantu Nik Aziz yang didakwanya cuba melaga-lagakan mursyidul am PAS itu dan Abdul Hadi berhubung isu tersebut.

Ini kerana, kata Abdullah, tindakan tidak menamakan identiti pembantu Nik Aziz secara terperinci, boleh mendorong berlaku pepecahan dalam parti.

"Untuk mengelak daripada berpecah-belah, tolong namakan segera.

'Tunjuk bukti'

"Jangan berselindung di sebalik tulisan. Namakan segera," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Untuk mengelak dan menyelesaikan perkara ini, tolong namakan dan tunjukkan bukti," tambahnya.

Tindakan Nik Abduh yang mendakwa pembantu-pembantu bapanya dengan tuduhan tersebut, adalah satu "tuduhan yang serius", tambahnya.

Ekoran itu, kata Abdullah, hal tersebut menyebabkan ahli dan pimpinan yang lain, tertanya-tanya siapakah pembantu bapanya yang dimaksudkan.

"Mereka tertanya-tanya. Adakah ia ditujukan kepada (setiausaha politik Nik Aziz) Anual Bakri Haron atau (Naib Presiden PAS) Datuk Husam Musa?

"Dia (Nik Abduh) tak sebut nama menyebabkan orang yang dituduh tak boleh bela diri.

"Mengikut prinsip Islam, orang yang menuduh kena tunjuk bukti. Ini tidak, dia buat tuduhan orang lain kena buktikan," kata Abdullah lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS