Pakatan Rakyat menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melarang parti-parti yang bertanding mendirikan pondok panas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini sebagai "tidak munasabah".
"Keputusan tersebut amat memeranjatkan kami. Dalam perbincangan (kami dengan SPR), mereka seolah-olah menerima dan kami optimistik tidak ada masalah," kata Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.
Mustafa berkata perbincangan mereka dengan SPR berlangsung Khamis minggu lalu. Ia turut dihadiri Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah; dua ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud dan Dr Dzulkifli Ahmad serta bendahari DAP, Fong Kui Lun.
Semalam Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi dalam pilihanraya kecil kali ini.
Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memastikan hari mengundi berjalan dengan "aman, tenang dan tanpa kesesakan lalulintas," selain "menyejukkan suasana" selepas berkempen.
Sementara itu, Sivarasa pula berkata, Pakatan Rakyat menolak keputusan SPR itu kerana ia melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
"Kita telah teliti dari sudut undang-undang. Kita menolak pendirian SPR ini kerana pendirian tidak munasabah.
Tolak alasan SPR
"(Keputusan itu) tidak ikut undang-undang pilihanraya itu sendiri dan bercanggah dengan tafsiran mereka (SPR)," kata Sivarasa.
Beliau kemudiannya membacakan sepucuk surat dari SPR pada 2004 yang ditandatangani Datuk Wan Ahmad Wan Omar selaku setiausaha SPR ketika itu.
Dalam surat tersebut, Wan Ahmad membenarkan penubuhan pondok panas di luar kawasan sempadan 50 meter dari tempat mengundi.
Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang berkata, pondok panas dibenarkan mengikut seksyen 24b (2) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
Sementara itu, Mustafa berkata, Pakatan akan menemui SPR untuk berbincang mengenainya Khamis atau selewat-lewatnya minggu depan.
Dalam sidang media yang sama, Dr Mariah menolak alasan yang diberi oleh SPR untuk tidak membenarkan pondok panas didirikan.
"Sebenarnya, sudah cukup untuk tempatkan anggota polis di tempat mengundi (pada hari mengundi).
Tidak cetus pergaduhan
"Sebelum ini, tidak tercetus pergaduhan antara penyokong parti. Bersemangat lebih, biasalah," katanya.
Tambahnya, pondok panas merupakan satu tradisi sejak pilihanraya pertama negara pada 1959.
"Asalkan ia di luar jarak 50 meter dari kawasan tempat mengundi," kata Dr Mariah yang juga ahli Parlimen Kota Raja.
Menjawab soalan pemberita mengenai sejauhmana pentingnya pondok panas tersebut, Mustafa berkata:
"Ia penting. Pengundi boleh ulang semak sama ada nama pengundi ada ataupun tidak.
"Kalau tak ada (nama pengundi) kita boleh membuat semakan lagi dengan SPR," katanya.