Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat bersedia menerima kerajaan perpaduan dengan syarat BN bersedia memberi jawatan-jawatan penting untuk diterajui parti itu, seperti menteri kewangan dan menteri pendidikan.
“Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya.
"Berikan kementerian kewangan dan kementerian pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM (perdana menteri) mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama,” menteri besar Kelantan dipetik berkata dalam blog anaknya Nik Abduh.
Dalam blognya itu, Nik Abduh yang juga timbalan ketua pemuda PAS negeri juga menghentam pembantu-pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan itu yang dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Kerajaan perpaduan yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan antara TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) dan TGHH (Tuan Guru Haji Hadi)," tulis Nik Abduh.
Bagaimanapun, tulisnya, selepas diadakan "pertemuan kurang sepuluh mata" bersama presiden PAS, Nik Aziz tidak lagi menyerang isu tersebut.
"Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya (Nik Aziz)," tulis Nik Abduh.
Menurutnya lagi, 'modus operandi yang sama pernah digunakan oleh pembantu bapanya itu berhubung isu muzakarah atau muqabalah dengan Umno sebelum ini.
"(Bagaimanapun), selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 (kediaman rasmi menteri besar Kelantan) beberapa bulan lalu, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya.
"Saya diberitahu dari sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH," tulisnya.
Nik Abduh juga menyifatkan pembantu-pembantu bapanya sebagai "mereka yang hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa diri mereka pun ulama juga".