komentar Malaysia cukup istimewa bukan sahaja kerana kepelbagaiannya dari segi budaya, makanan dan bahasa; tetapi juga kesanggupan masyarakat berbilang kaum hidup dan bekerja sebumbung secara harmoni.
Keupayaan masyarakat majmuk Malaysia untuk wujud bersama, saling menghormati dan saling menghargai inilah yang menjadikan kita negara teladan kepada negara-negara lain yang masih dibelenggu dengan masalah perkauman.
Namun begitu, keharmonian ini ada kalanya diganggu-gugat oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Contohnya, dengan menguar-uarkan bahawa 'Amanah Saham Malaysia (ASM) kaum Cina habis' dalam sebuah akhbar arus perdana yang memaparkan bahawa masyarakat Cina adalah golongan kaya dan berkemampuan.
Laporan ini mungkin mengelirukan pembacanya yang kebanyakannya berbangsa Melayu. Penjelasan yang kabur mungkin mengundang pelbagai tafsiran yang berbeza-beza.
Perkara ini harus dielakkan supaya tidak menimbulkan perasaan tidak puas hati atau salah faham yang boleh memudaratkan keharmonian kaum.
Penggunaan frasa "ASM kaum Cina habis" seolah-olah memberi gambaran bahawa kaum Cina kaya-raya walaupun negara kita dilanda krisis ekonomi dunia.
Perlu diingatkan masyarakat Cina lazimnya menabung demi kegunaan masa depan. Mereka lebih suka menabung sebagai persiapan untuk menghadapi hari-hari sukar, daripada mengharapkan bantuan sesiapa.
Amalan menabung ini memang satu tradisi dan sudah lama tersemat dalam diri masyarakat Cina.
Sememangnya, pembelian saham berdasarkan kuota kaum amatlah tidak kena pada tempatnya kerana rakyat Malaysia masih dibahagi-bahagikan mengikut kaum.
Rupa-rupanya pembahagian seperti ini satu-satu caranya untuk memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan menyusun semula masyarakat setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Harus diingatkan biarpun semua kuota ASM kaum Cina atau mana-mana kaum lain habis dibeli dalam masa yang singkat, tetapi bukan semua orang Cina terlibat dalam pembelian ASM.
Besar kemungkinan cuma sebilangan kecil orang Cina yang membeli ASM dengan jumlah unit yang besar kerana had setiap pembeli adalah RM 20,000.
Pandangan bahawa semua orang Cina kaya dan mampu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
Jika kita berpeluang turun ke padang dan meninjau keadaan sebenarnya, masih ada kelompok masyarakat Cina di kawasan luar bandar dan bandar yang terpaksa hidup dalam kemiskinan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Melihat dari sudut yang lebih positif pula, sambutan luar dugaan masyarakat Cina terhadap skim ASM membuktikan bahawa komuniti ini amat peka kepada peluang-peluang pelaburan yang ada, sama ada dilancarkan oleh kerajaan atau sektor swasta.
Hakikatnya, mereka juga sedar apakah yang terbaik dan dapat menjamin masa depan diri dan keluarga mereka.
Mereka sentiasa melihat ke hadapan dan berada dalam keadaan kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan segala macam cabaran yang mendatang.
Lebih penting lagi, sambutan luar dugaan terhadap skim ASM ini bukti kukuh bahawa mereka menaruh kepercayaan tinggi kepada skim-skim amanah yang diperkenalkan kerajaan.
Mereka membeli unit-unit dana ASM ini kerana yakin akan keberkesanan, pulangan dan juga kredibiliti kukuh yang dimiliki oleh agensi kerajaan yang menguruskan dana berkenaan.
Lee Wei Kiat, jurucakap rasmi MCA, mengulas laporan utama muka depan Utusan Malaysia semalam berjudul 'ASM kaum Cina habis' . Berita itu menyebut kesemua 999 juta unit - diperuntukkan kaum tersebut - telah habis terjual dalam sehari, sementara bumiputera hanya membeli 7.65 juta daripada peruntukan 1.665 bilion unit.