Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jusoh digesa supaya berdamai demi kepentingan parti dan rakyat Terengganu.

Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan bagi mengakhiri kemelut politik di negeri itu sekarang.

Pergolakan politik di Terengganu itu berlarutan sejak kontroversi pelantikan menteri besar selepas pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Ahmad dilantik sebagai menteri besar, menggantikan Idris walaupun beliau (Idris) disokong oleh Umno pusat.

Keadaan menjadi lebih rumit lagi apabila 10 ADUN BN Terengganu tidak menghadiri sidang dewan DUN awal minggu lalu, selepas tiga daripada mereka menerima SMS ugutan.

ahmad said idris jusoh terengganu Mereka yang menerima SMS ugutan itu - Datuk Rosol Wahid (ADUN Ajil); Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Ariffin (Paka) - turut membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Pada mulanya, SMS itu didakwa dihantar dari pejabat menteri besar, tetapi ia dinafikan kemudiannya.

Pemilihan Umno

Mengulas lanjut mengenainya, Rosli berkata: “Sekarang kita sudah tahu orang pejabat menteri besar (Datuk Ahmad Said) tidak terbabit dengan penghantaran SMS berunsur ugutan itu.

“Orang itu hantar SMS melalui internet, melalui komputer. Bukan orang menteri besar.

“Berhenti, berhentilah berbalah. Marilah kita bersama-sama memperkuatkan parti,” katanya.

Polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta Isnin lalu berhubung siasatan kes penghantaran SMS ugutan tersebut.

Rosli turut mengakui bahawa suasana politik di Terengganu sekarang adalah berpunca daripada pertukaran menteri besar secara kontroversi.

“Sama ada kita rasa betul atau tidak, itulah hakikatnya," katanya sambil menambah, pergeseran berterusan sehingga membabitkan pemilihan bahagian Umno tahun lalu.

"Apabila berlaku pertandingan di bahagian (Umno), kumpulan Datuk Ahmad berlawan dengan kumpulan Datuk Seri Idris, (maka) masalah tidak puas hati berterusan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS