Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Tak cukup bukti dakwa Fairus
Diterbitkan:  Apr 23, 2009 5:41 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan keterangan yang diperolehnya berhubung siasatan terhadap bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR, tidak mempunyai asas untuk mendakwanya.

Menurut kenyataan SPRM hari ini, keputusan itu dibuat setelah SPRM meneliti kes itu dengan mendalam dan mengambil kira keseluruhan keterangan yang terdapat dalam siasatan itu.

"Peguam Negara juga bersetuju atas keputusan ini setelah dimaklumkan kepadanya," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kononnya dua pemimpin PKR negeri itu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai, lapor Bernama.

Pendedahan berkenaan dibuat oleh Ketua Angkatan Muda PKR Kepala Batas, Amizuddin Ahmat Februari lalu dan ia dipercayai menjadi punca kepada peletakan jawatan Fairus sebagai timbalan ketua menteri I dan ADUN Penanti.

Menurut kenyataan itu, siasatan SPRM mendapati tugas dan tanggungjawab di bawah portfolio Fairus tidak ada kaitan secara langsung dengan perusahaan kuari di Pulau Pinang.

"Beliau hanya diberi tugas mengendalikan siasatan kes pemberian tanah di Lot 954 dan 955, Mukim 20, Seberang Perai Tengah kepada seseorang, dan siasatan mendapati beliau ada meminta dan menerima pembiayaan daripada seorang pengusaha kuari bagi menghadiri satu kursus antarabangsa di London," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, menurut SPRM, pengusaha kuari yang memberi sumbangan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap Fairus.

"Siasatan mendapati Fairus telah pergi menghadiri kursus antarabangsa di London pada pertengahan tahun 2008 bersama-sama dengan TimbalanKetua Menteri II Pulau Pinang (P Ramasamy) yang mana Ramasamy dibiayai sepenuhnya oleh pihak penganjur dan kerajaan negeri," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu juga, SPRM mengingatkan kerajaan negeri, kementerian dan jabatan agar mematuhi peraturan dan tatacara permintaan serta penerimaan sumbangan daripada pihak luar.

SPRM akan menghantar pegawainya ke Pulau Pinang untuk menjalankan kajian bagi meningkatkan ketelusan dan akuantabiliti melalui prosedur dan tatacara penerimaan sumbangan atau derma dari pihak luar.

"Hasil kajian ini akan dicadangkan untuk diterimapakai oleh lain-lain negeri dan kementerian," menurut kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS