Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan menawarkan 3.33 bilion unit baru Amanah Saham Malaysia (ASM) dan 2.0 bilion unit Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020).
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata unit-unit ASM itu akan mulai dijual pada 21 April di semua 1,500 ejen dan pejabat Amanah Saham Nasional Bhd di seluruh negara, sementara unit-unit baru ASW 2020 boleh dilanggani mulai 27 April, 2009.
Pengumuman tawaran unit baru itu, yang akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menyertai pasaran modal, dibuat semasa Perdana Menteri merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 (MSAM 2009) yang sedang berlangsung di Johor Bahru hari ini.
MSAM 2009 yang menjadi satu acara tahunan, diadakan sebagai usaha mempertingkat kesedaran serta kefahaman mengenai pelaburan dan kepentingan merancang kewangan, lapor Bernama.
Kedua-dua tawaran tambahan itu akan dikenakan had langganan maksimum 20,000 unit setiap pelabur.
Najib berkata dalam tempoh 19 tahun ini, MSAM yang telah diadakan secara konsisten setiap tahun telah mendatangkan hasil yang positif dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan simpanan dan pelaburan.
"Jikalau sewaktu krisis, mata wang pada tahun 1998 dahulu menyaksikan pengeluaran hampir RM1 bilion dari skim unit amanah PNB seperti ASB oleh para pelabur, keadaan sekarang bertambah baik," katanya.
Beliau berkata PNB kini menikmati aliran bersih lebih daripada RM10 bilion ke dalam dana tajaannya pada tahun lalu.
Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya amat berbesar hati kerana PNB kini berjaya menggembleng dana lebih RM87 bilion yang dikumpul dari lebih 9.3 juta orang pelabur," katanya.
Najib berkata aliran masuk bersih bagi unit amanah PNB bernilai RM5 bilion setakat tahun ini.
Setakat ini, katanya jumlah pengagihan pendapatan yang telah dibayar melebihi RM65 bilion di mana ia telah membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat negara ini.
"Ini bermakna dana unit amanah PNB telah dapat mendidik masyarakat lebih cekap dalam pengurusan kewangan individu," kata perdana menteri.
Najib berkata kelahiran ASN dan unit amanah seterusnya menerusi PNB telah mengubah paradigma masyarakat mengenai pelaburan unit amanah ke satu tahap yang tidak terduga.
Sebelum kemunculan ASN, beliau berkata rakyat Malaysia khususnya Bumiputera begitu asing terhadap dunia pelaburan negara.
"Industri unit amanah menjadi semakin sinonim dengan masyarakat melalui usaha agresif PNB yang berterusan sehingga kini, di samping kerancakan pelaksanaan program pendidikan pelaburannya," kata Perdana Menteri.
"Malah, tidak keterlaluan jika saya katakan unit amanah PNB ini telah berjaya membina satu jenama tersendiri dalam industri unit amanah negara dengan meraih sokongan padu masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera," katanya. .