Selepas dua bulan bercuti sejak kes penyebaran gambar separuh bogelnya, exco Selangor, Elizabeth Wong kembali semula bertugas hari ini, namun penyebar sebenar gambarnya itu masih belum dikesan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata bekas teman lelaki ADUN Bukit Lanjan, Helmi Malek, 32, yang dikaitkan dengan penyebaran gambar tersebut belum dapat dijejaki.
"Dia belum balik tapi kita percaya dia pasti pulang ke Malaysia. Waran tangkap terhadapnya sudah dikeluarkan dan kawalan keselamatan juga telah dilakukan di semua pintu masuk negara
bagi menahannya," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 25 Mac lepas terhadap Helmi telah diedarkan kepada semua pihak berkuasa yang mengawal pintu masuk negara bagi menahannya, lapor Bernama .
Helmi, yang menghilangkan diri sejak 9 Februari lepas setelah dikaitkan dengan penyebaran gambar dan klip video Wong di internet, difahamkan kini berada di Batam, Indonesia.
Pada 15 Februari lepas, Wong, 37, membuat laporan polis berhubung perkara itu di Petaling Jaya dan dua hari selepas itu Wong menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai ADUN dan exco kerajaan negeri, sebelum diberi cuti rehat.
Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memutuskan untuk menawarkan semula kedua-dua jawatan tersebut kepada Wong.