Seorang pekerja kontrak - yang terlantar di unit rawatan rapi (ICU) kerana meminum cecair pelarut semasa dalam tahanan polis - dihadapkan dengan pertuduhan memiliki dadah.
Pemuda 23 tahun itu, yang terbaring lemah memakai topeng oksigen dengan tangan kanan bergari di kepala katil mendengar dakwaan terhadapnya yang dibacakan di depan majistret Liew Horng Bin di Bilik Infeksi, Wad 8B, Hospital Tengku Ampuan Rahimah kira-kira pukul 3.50 petang.
Selepas tiba, hakim duduk di sebelah katil tertuduh dan mengumumkan bilik tersebut sebagai mahkamah terbuka serta mengarahkan jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan.
Pemuda itu didakwa memiliki dua bungkusan ganja seberat kira-kira 44.55 gram di Perhentian Bas di tepi Jalan Kebun, Kelang kira-kira 11.30 malam pada 7 April lepas.
Pemuda itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.
Sejurus pertuduhan dibacakan, dia dengan lemah mengangguk faham dan minta dibicarakan.
Nota editor: Malaysiakini memadamkan nama pemuda dalam berita di atas susulan permintaan keluarga.