Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Krisis yang sedang berlaku di Terengganu diketahui lebih awal oleh pucuk pimpinan tertinggi negara kerana dua rombongan ADUN Barisan Nasional telah menemui mereka berdua sejak seminggu lalu.

Bekas pemimpin kanan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid bersama rombongannya menemui Datuk Seri Najib Razak pada 8 April, sehari sebelum perdana menteri mengumumkan barisan kabinet pertamanya.

Pertemuan itu diadakan di kediaman rasmi timbalan perdana menteri, Seri Satria di Putrajaya.

Najib waktu itu belum berpindah ke Seri Perdana.

Manakala satu lagi rombongan ADUN negeri itu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu.

Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu, Alias Abdullah memberitahu Malaysiakini hari ini, perdana menteri ingin tahu sebab majoriti ADUN tidak senang kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Alias yang juga wakil Alor Limbat menambah, mereka dipanggil oleh Muhyiddin kerana beliau sendiri juga ingin mengetahui gambaran sebenar politik Terengganu.

Tambahnya, timbalan perdana menteri juga diarahkan oleh perdana menteri untuk mengumpul maklumat lanjut tentang perkara ini.

"(Dalam pertemuan itu,) kita telah menyuarakan rasa kurang puas hati mengenai pelantikan ketua Wanita Umno bahagian Dungun, Zainon Abu Bakar sebagai senator yang mewakili Terengganu," katanya.

"Kerana kita mahu senator yang mewakili Terengganu mestilah (seseorang) yang membawa suara Terengganu," katanya.

Alias juga mendakwa kumpulannya tidak berniat membawa usul undi tidak percaya terhadap menteri besar.

Jika ada ura-ura tentang perkara ini, tambahnya, "ia adalah cerita daripada kumpulan pro-Ahmad."

Peguam itu juga menafikan kumpulan yang mempertikaikan Ahmad itu bercita-cita mahu merampas jawatan menteri besar.

Diminta mengulas lanjut sikap rakan-rakannya dalam Kelab Penyokong Kerajaan BN Terengganu, Alias berkata majoriti sudah hilang keyakinan kepada Ahmad untuk memimpin negeri tersebut.

Beliau menambah, ADUN Kijal tidak mempunyai kebolehan untuk membawa kemajuan Terengganu.

"Jika beliau terus menjadi menteri besar, rakyat dan negeri ini akan menjadi mangsa.

"Untuk itu kita berharap pucuk pimpinan tinggi negara menyelesaikan isu ini segera untuk kepentingan rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS