Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB tak tahu punca SMS ugut bunuh
Diterbitkan:  Apr 14, 2009 3:02 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata beliau tidak tahu punca 10 ADUN BN negeri itu tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Katanya, beliau juga tidak mengetahui bahawa tiga daripada ADUN berkenaan telah menerima SMS ugutan yang mengancam nyawa mereka, malam tadi.

"Saya baru balik dari Kemaman kira-kira jam 2.30 pagi tadi. Saya tidak tahu perkara sebenar berhubung SMS dan tindakan 10 ADUN yang tidak menghadiri sidang Dewan hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN berhenti rehat tengah hari tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan 10 ADUN BN yang enggan menghadiri hari kedua sidang DUN hari ini kerana mendakwa keselamatan diri mereka terancam, lapor Bernama .

Tindakan kesemua Adun BN itu dipercayai mempunyai kaitan dengan SMS ugutan yang diterima oleh tiga wakil rakyat BN iaitu Permaisuri, Paka dan Ajil malam tadi berhubung kemelut politik di negeri ini.

Sepuluh wakil rakyat yang tidak menghadiri sidang Dewan itu ialah Adun Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

Ahmad berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan wakil rakyat BN itu dan tidak akan menghubungi mereka bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

"Tidak hadir Dewan perkara biasalah bagi orang politik...saya tidak akan memujuk mereka supaya datang (esok)," katanya yang banyak mengelak soalan daripada wartawan.

Ditanya mengenai pegawai kanan kerajaan negeri yang dikaitkan dengan penghantaran SMS itu, Ahmad menyerahkan perkara itu kepada polis untuk mengambil

tindakan selanjutnya kerana tiga Adun berkenaan telah membuat laporan mengenai perkara itu.

Sidang DUN Terengganu yang berlangsung selama tiga hari, akan berakhir esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS