Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menemui Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said untuk mendapat gambaran sebenar mengenai kemelut politik yang melanda kepimpinan BN negeri itu sekarang.
"Sudah tentu saya akan jumpa menteri besar sendiri untuk mendapatkan gambaran mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita hari ini.
Mengulas mengenai tindakan 10 ADUN BN Terengganu yang tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu hari ini, timbalan perdana menteri berkata: "Itu bukan boikot, tetapi tidak hadir".
Penyokong kerajaan terbabit tidak hadir sidang DUN Terengganu - yang masuk hari kedua - selepas tiga daripada mereka menerima SMS ugutan malam tadi.
Berikutan itu, mereka membuat laporan polis mengenai ugutan tersebut - yang dipercaya merujuk kepada pembentang undi tidak percaya terhadap menteri besar - malam tadi.
Mesej yang didakwa dikirim oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri itu, antaranya berbunyi "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?".
Bagaimanapun, timbalan perdana menteri berkata, beliau belum mendapat maklumat mengenai perkembangan lanjut isu di Terengganu itu.
Prestasi MB
Beliau juga mengakui ada menemui beberapa ADUN BN dari Terengganu beberapa hari yang lalu.
Muhyiddin bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut.
"Kita tidak mahu perkara ini menimbulkan masalah. Kita akan selesaikan isu tersebut," katanya selepas majlis menerima tugas sebagai menteri pelajaran di Putrajaya hari ini.
Ditanya sama ada isu tersebut ada kaitan dengan kemampuan Ahmad mentadbir Terengganu, dan apakah penilaian kerajaan pusat terhadap prestasi menteri besar itu, Muhyiddin hanya berkata:
"Beliau menteri besar, dan beliau buat kerja kerja sebagai seorang menteri besar."
Bagaimanapun, kata Muhyiddin, mungkin ada masalah dan isu-isu lain yang juga perlu dilihat.
Beliau juga ditanya sama ada akan mengadakan pertemuan dengan empat ADUN BN Terengganu yang dikatakan datang ke Putrajaya untuk menemuinya hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan sebelum mendapat maklumat mengenai perkembangan terkini di Terengganu.