Pengundi bukan Melayu "tidak mahu dilayan seumpama pengemis" - apabila menjelang pilihanraya, mereka ditaburkan pelbagai projek pembangunan dengan harapan mereka memilih calon BN, kata jurucakap rasmi MCA.
"Bukan Melayu tidak suka dilayan seperti peminta sedekah, hanya ketika pilihanraya kecil, lebih banyak penaikan taraf jalan dilakukan, peruntukan kepada sekolah, NGO dan badan amal meningkat," kata ahli jawatankuasa pusat parti itu Lee Wei Kiat.
"Walaupun bantuan dalam apa jua bentuk kepada sesuatu masyarakat sentiasa dialu-alukan, pengundi ingin melihat ketekalan dalam peruntukan dan pengagihan kerajaan dan bukannya memuncak sewaktu pilihanraya kecil."
Beliau mengulas wawancara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang melihat ketewasan besar BN di parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau sebagai sikap tidak kenang budi pengundi bukan Melayu terhadap kerajaan.
Ditanya Mingguan Malaysia "bukankah setiap kali pilihanraya kecil, permintaan kaum bukan Melayu dipenuhi, malah di Bukit Gantang walaupun peruntukan RM1 juta diberikan tetapi kaum Cina tidak juga menyokong BN", timbalan presiden Umno berkata:
"Ya, kadang-kadang kita berasa terpedaya juga kerana zahirnya nampak macam 'OK', sambutan dengan tepukan gemuruh tetapi mungkin sudah ada tertanam dalam hati iaitu sesuatu tidak mudah hendak berubah, pokoknya masalah isu Perak terutamanya di kalangan masyarakat Cina yang mungkin telah dipengaruhi dengan sentimen simpati kepada Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, kononnya dia 'dijatuhkan', lepas itu kononnya dasar memberi pegangan tanah selama 99 tahun dilihat dasar yang menguntungkan.
"Ini yang mungkin menyebabkan sukar BN mendapat sokongan walaupun kita fikir bila mereka hendak sekolah Cina dibantu, kita bantu, sepatutnya mereka membalas budi.
"Pada waktu itu, kita pun tidak berharap sokongan kaum Cina akan meningkat 40 peratus dan sebagainya cuma kita berharap ada peningkatan sedikit tetapi apa yang berlaku ia mencatatkan penurunan, macam tidak ada penghargaan terhadap apa yang kita lakukan."
Wawancara pertama dengan Muhyiddin - selepas dilantik pemimpin nombor dua negara - mendapat liputan meluas akhbar-akhbar utama berbahasa Cina hari ini yang semuanya menonjolkan wawancara tersebut yang dianggap negatif kepada pengundi bukan Melayu.
Sin Chew Daily melaporkan "Muhyiddin – Cina tidak bersyukur kepada BN", Nanyang Siang Pau "Cina kenakan BN. Muhyiddin – Dapat manfaat tetapi tidak beri undi" dan China Press pula "BN rasa tertipu. Muhyiddin - Penuhi tuntutan Cina tapi masih tiada sokongan".
Selain MCA, Gerakan dan DAP juga membidas analisis Muhyiddin itu yang mendakwa pengundi Cina dan India kini menganggap diri mereka "kuasa penentu" kekuasaan selepas lima negeri, termasuk Kelantan, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
"Persoalannya apakah mereka melihat dalam konteks senario politik baru ini, selepas kerajaan BN tumbang di lima buah negeri, mereka sudah menjadi kuasa penentu? Orang Cina rasa sekarang, walaupun mereka kumpulan minoriti, merekalah menentukan kerana kelompok masyarakat Melayu sudah berpecah tiga kumpulan.
"Masyarakat Cina tidak berpecah, mereka bersatu, setidak-tidaknya dari segi semangat apabila bersama-sama membuat sesuatu keputusan.
"Dalam keadaan ini, mereka boleh menentukan keputusan sesuatu pilihanraya dan apabila kesan itu dapat dilihat dalam pilihanraya umum lalu dan beberapa pilihanraya kecil, mereka fikir sekarang mereka lebih ada kuasa penentu, bukan sahaja Cina, malah masyarakat India pun begitu, apatah lagi apabila mendapat kedudukan dalam kerajaan yang ditubuhkan pakatan pembangkang dengan menjadi timbalan ketua menteri, speaker dan exco kerajaan negeri, jadi ini bagi mereka seolah-olah tawaran yang diberikan oleh pihak sana lebih baik daripada kita pernah tawarkan dalam konteks BN, jadi ini kita harus teliti," Muhyiddin dipetik berkata dalam wawancara tersebut.
"Kebimbangan saya orang yang tidak menjadi penentu sudah menjadi penentu, orang Melayu yang majoriti sepatutnya menjadi penentu sudah tidak menjadi penentu.
"Justeru bagi kita kalau boleh sebaik mungkin mereka bernaung di bawah sayap Umno, tetapi Umno yang relevan dan memahami cita rasa rakyat, Umno yang adil, Umno yang lebih bersedia untuk melihat dengan lebih saksama, ini kita kena fikirkanlah."
Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Yuan berkata pengundi Cina di dua kawasan tersebut sukar mengaitkan diri mereka dengan BN kerana ia tidak lagi menegakkan yang terbaik di Malaysia."
"Amalan biasa (BN) menaburkan peruntukan tidak lagi membawa kesan kerana ramai yang melihatnya sebagai cubaan tidak bijak untuk meraih undi. Masalah mereka mesti ditangani berterusan dan menyalurkan peruntukan sewaktu pilihanraya kecil, tidak lagi berkesan dan meyakinkan," katanya.
"Isu-isu yang lebih pokok seperti rasuah, penyalahguanaan kuasa dan kesaksamaan dalam kepemimpinan nasional dan sistem penyampaian kerajaan harus ditangani dahulu, barulah pengundi yang lari daripada BN pada 3 Mac 2008 akan bersedia kembali (bersama BN)."
Chang sebaliknya mencadangkan idea "Satu Malaysia. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" yang dipromosikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak haruslah diberikan lebih penekananan kerana ia boleh memberi makna sebenar perjuangan BN.
Selain mencadangkan kempen bersama antara pemimpin Melayu dan bukan Melayu untuk semua kaum, Chang menambah, ramai pengundi kini terpengaruh dengan slogan keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat
Sementara tokoh DAP Lim Kit Siang menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai "pengesahan" bahawa BN mengaku bersalah mengamalkan politik wang ketika pilihanraya, menggunakan dana awam khususnya dalam bentuk projek pembangunan sebagai umpan untuk meraih sokongan pengundi.
Mengulas wawancara dengan ahli parlimen Pagoh bertajuk 'Kuasa penentu Melayu hilang jika terus berpecah', Lim menafikan pengundi Cina dan India ingin menjadi "kuasa penentu" politik dengan menyisihkan Melayu dalam lanskap baru politik.
Beliau menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu "jelas sekali tidak sesuai, paling mengejutkan dan menyinggung perasaan" sebagai timbalan perdana menteri yang baru dan bertanya "apakah ini yang dimaksudkan oleh 'Satu Malaysia' Najib?"
"Tugas pertama jemaah menteri Najib pada mesyuarat pertama Rabu ini ialah menakrifkan maksud slogan 'Satu Malaysia' bagi memastikan ia menjadi motto perpaduan dan bukan perpecahan," kata Lim.
Dalam kenyataan sama, Lee menambah pengundi Bukit Gantang menolak BN berdasarkan beberapa faktor, termasuk isu tanah milik sementara (TOL) dan rungutan nelayan di Kuala Sepetang yang belum berjaya diselesaikan.
Isu-isu nasional yang dipertikaikan pengundi bukan Melayu termasuklah pengagihan tidak sama rata biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), diskriminasi untuk masuk ke pusat pengajian tinggi, kegagalan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan hak kebebasan berpolitik yang terhad.
Lee turut mengungkit sumbangan kaum Cina sejak sebelum 1957, menghantar perwakilan negara untuk berunding kemerdekaan di London sehinggalah menentang Indonesia pada era Konfrontasi 1960-an.
"Oleh itu, untuk memenangi semula hati masyarakat Cina, BN mesti melakukan lebih daripada sekadar menyumbang RM1 juta pada pilihanraya kecil," katanya.