Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibrahim Ali 'tunggu' dipinang Umno
Diterbitkan:  Apr 11, 2009 8:26 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menunggu 'pinangan' daripada pimpinan Umno, untuk membolehkan beliau kembali menyertai parti yang pernah dianggotainya sebelum dipecat tujuh tahun lepas.

"Saya tidak akan meminang Umno, kecuali Umno yang meminang saya. Hingga kini saya tidak ada ilham lagi (bila ia akan berlaku)," katanya kepada pemberita ketika ditanya kedudukannya sama ada mahu mengekalkan status sebagai satu-satunya ahli Parlimen Bebas atau ingin kembali semula kepada Umno.

ibrahim ali 231105 Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan terburu-buru menerima pinangan itu, sekiranya ada, dan akan mempertimbangkannya terlebih dahulu, lapor Bernama.

"Saya akan timbang semasak-masaknya terlebih dahulu kerana sebarang keputusan yang dibuat secara tergopoh-gapah akan menyebabkan seseorang cepat jatuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-7, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) semalam.

Ibrahim, 57, digugurkan daripada jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya seumur hidup dalam Umno kerana bertanding sebagai calon Bebas pada pilihanraya umum ke-11, Mei 2004. Beliau bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Ismail Noh.

Beliau sebelum ini membayangkan akan membuat 'satu kejutan' terhadap senario politik dan menunggu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melakukannya terlebih dahulu.

Dr Mahathir mengumumkan menyertai semula Umno semasa perhimpunan Agung Umno 2008 Mac lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS